Kerjasama Myra-Maybank Islamic HouzKEY penuhi impian pemilikan rumah pertama dan kedua | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Myra-Maybank Islamic HouzKEY penuhi impian pemilikan rumah pertama dan kedua

Myra Alam

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Pembeli rumah berpotensi Myra Alam kini berpeluang memiliki rumah impian melalui pembiayaan HouzKEY yang merupakan kerjasama antara pemaju hartanah, Myra dan Maybank Islamic.

 

Pembiayaan tersebut dirangka bagi membantu pembeli rumah pertama dan kedua yang berminat untuk memiliki rumah yang lebih selesa, namun terikat dengan masalah kewangan untuk memiliki rumah impian.

 

Pengarah Urusan Maybank Real Estate Ventures, Sally Lye berkata, melalui kerjasama tersebut, HouzKEY menawarkan pelbagai manfaat kepada mereka yang ingin mendapatkan rumah impian.

 

Myra Alam

 

"Kami berbangga dengan kerjasama menarik antara Myra Alam dan HouzKEY yang mempunyai potensi besar dalam memberi manfaat kepada pemberi rumah secara amnya.

 

"Dengan pelancaran ini, ia bermaksud pembeli rumah pertama dan kedua di Malaysia dapat memiliki rumah impian dengan pembiayaan 100%, tiada pendahuluan semasa tempoh pembinaan dan pembayaran bulanan terendah dengan tawaran harga menarik.

 

"Kami berhasrat untuk memberi penyelesaian yang mudah, selamat dan lancar kapada pembeli rumah. Mereka boleh mengemukakan permohonan HouzKEY secara dalam talian di laman web Maybank," katanya dalam satu kenyataan.

 

Permohonan secara dalam talian merupakan kaedah yang baik dan memudahkan kepada pembeli rumah seiring dengan kepatuhan penjarakan fizikal ketika pandemik COVID-19.

 

.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Myra, Wendy Lim memberitahu, dengan HouzKEY, mereka yang berminat untuk memiliki kediaman Myra Alam akan berpeluang mendapatkan rumah berkenaan dengan mudah.

 

"Kerjasama kami dengan Maybank Islamic melalui HouzKEY adalah satu langkah ke arah menyediakan pembeli rumah dengan cara yang mudah dan senang di Myra Alam," katanya.

 

Selain manfaat yang ditawarkan oleh HouzKEY, pembeli rumah baharu juga berpeluang memperoleh manfaat Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang berlangsung hingga 31 Disember 2021.

 

Pembeli rumah juga berpeluang mendapatkan pengecualian duti setem penuh dalam Memorandum of Transfer (MOT) dan Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi rumah yang berharga antara RM300,001 dan RM1 juta.

 

Insentif itu adalah tambahan kepada diskaun lain yang tersedia kepada pembeli rumah termasuk diskaun pembeli rumah Bumiputera yang layak. - DagangNews.com