Kerjasama Petronas dengan Sarawak akan tertumpu kepada hidrogen, kemampanan petrokimia | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Petronas dengan Sarawak akan tertumpu kepada hidrogen, kemampanan petrokimia

Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz mengetuai delegasi pengurusan kanan Petronas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia. Kuching pada 14 Februari 2023. - Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING 15 Feb - Kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dengan kerajaan Sarawak akan tertumpu kepada industri hidrogen dan petrokimia yang mampan.

 

Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata, terdapat aspirasi yang lebih besar ke arah membina ekonomi hidrogen dan infrastruktur selaras dengan aspirasi Petronas.

 

“Saya ingin berkongsi bahawa semua aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran dengan kerjasama kerajaan Sarawak dilaksanakan dengan cekap.

 

“Ini akan memberikan asas yang lebih besar kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama ke arah kemampanan melalui tenaga baharu termasuk hidrogen dan petrokimia,” katanya.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata, sumber tenaga baru hidrogen boleh dibangunkan dan kegiatan ekonomi dapat dipercepatkan.
 

“Kami akan mempercepatkan aktiviti berkaitan hidrogen dan sumber tenaga baharu. Sesungguhnya, banyak peluang dan alhamdulillah Sarawak banyak sumber dan boleh dimakmurkan dan dibangunkan dengan cepat,” tambahnya.

 

Beliau mengetuai delegasi pengurusan kanan Petronas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa. — DagangNews.com