KUALA LUMPUR 27 Mei - Tatakelola penyelarasan dan pengurusan aset tenaga elektrik negara ditambah baik demi menjamin kestabilan bekalan kepada rakyat, melalui peningkatan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Penambahbaikan dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga (ST) itu sejajar peranan proaktif SPRM menangani isu rasuah berkaitan kecurian elektrik yang boleh membahayakan aset strategik negara, berdasarkan Seksyen 7(c), (d), dan (e) Akta SPRM 2009.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan proaktif itu terbukti melalui operasi Ops Power yang berhasil membongkar kes kecurian elektrik oleh sindiket perlombongan bitcoin, menyebabkan kerugian besar kepada TNB dan negara.
“SPRM bersedia bekerjasama dengan TNB untuk mengesan kelemahan dan menambah baik sistem serta tatakelola pengurusan aset demi menutup peluang terjadinya rasuah.
"Tindakan pencegahan ini penting bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan kelestarian pengurusan bekalan elektrik negara,” tambahnya.
Beliau bersama-sama Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif ST, Dato’ Ir. Ts. Abdul Razib Dawood menandatangani dokumen kerjasama itu di Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Pusat Konvensyen Leo Moggie, Ibu Pejabat TNB, Bangsar, hari ini.
Antara penambahbaikannya ialah pemasangan barrel lock pada kotak meter di premis pengguna yang dianggap berisiko tinggi.
TNB merancang membeli 5,000 unit barrel lock pada tahun 2024 menggunakan peruntukan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) tempoh ketiga (RP3) dengan pemasangan dijadualkan pada tahun 2025.
Sistem biometrik tanpa kunci juga akan dipasang secara berpandu pada Pencawang Elektrik 11kV atau peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) yang dikenal pasti berisiko tinggi, melibatkan 3000 unit.
Selain itu, TNB akan melaksanakan pemasangan CCTV secara dalam talian di Pencawang Masuk Utama dan Pencawang Pembahagian Utama di kawasan berisiko tinggi.
Manakala bagi tahun 2025 hingga 2027, kuantiti pelaksanaan bagi inisiatif-inisiatif ini adalah tertakluk kepada keputusan IBR RP4 oleh pihak kerajaan.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengawasan dan kawalan ke atas aset strategik negara khususnya aset elektrik, mengurangkan risiko kecurian elektrik dan menzahirkan jaminan kepada Kerajaan Malaysia serta pengguna akan kestabilan bekalan elektrik melalui tatakelola pengurusan aset yang baik.
Abdul Razib menekankan, "Penolakan rasuah secara menyeluruh dan tahap integriti tertinggi hanya dapat dicapai apabila semua pihak termasuk ST dan TNB, komited untuk meningkatkan penerapan nilai integriti dan tatakelola yang cemerlang, termasuk memperkukuhkan kawalan dalaman bagi mencipta budaya kerja sihat.”
Dalam kaitan itu, Megat Jalaluddin berkata, "TNB tidak pernah berhenti daripada usaha memastikan keselamatan semua aset strategiknya dan sentiasa mengukuhkan integriti dalam kalangan warga kerjanya bagi membanteras budaya negatif seperti rasuah dan penyelewengan."
Melalui langkah-langkah ini termasuk kerjasama dengan SPRM dan ST, TNB mengukuhkan lagi integriti sebagai penjaga aset strategik negara, sejajar dengan komitmennya terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk planet dan komuniti. - DagangNews.com