Kerugian bersih 4QFY23 NWP menyusut kepada RM95,000 berbanding RM9.1 juta pada suku sama tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih 4QFY23 NWP menyusut kepada RM95,000 berbanding RM9.1 juta pada suku sama tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Kerugian bersih NWP Holdings Berhad mengecil kepada RM95,000 pada suku keempat tahun kewangan yang berakhir 28 Februari 2023 (4QFY23) berbanding kerugian bersih RM9.1 juta setahun lalu, disokong oleh penjimatan kos daripada penamatan pajakan dan kos pembiayaan yang lebih rendah.

 

Bagaimanapun, hasil bagi suku itu turun sebanyak 41% kepada RM481,000 daripada RM818,000 bagi suku yang sama tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh jualan kayu luar negara yang lebih rendah berikutan permintaan yang lebih rendah.

 

Pada suku tersebut, kumpulan itu juga juga merekodkan perbelanjaan yang lebih rendah berbanding 4QFY22 disebabkan oleh langkah penjimatan kos seperti mengurangkan bilangan pekerja dan memindahkan premis pejabat kepada sewa yang lebih rendah.

 

Pengarah Eksekutif NWP, Tan Jyy Yeen berkata, inisiatif penjimatan kos syarikat telah berjaya membuahkan hasil.

 

"Syarikat telah mengambil langkah proaktif untuk menyelaraskan perniagaan kami dan menumpukan usaha untuk mengurus kos kami, kerana perniagaan acuan dan kayu telah bergelut selama beberapa tahun.

 

"Walaupun cabaran ini masih diteruskan, kami yakin tenaga kerja yang lebih baik dan operasi yang lebih cekap dalam syarikat akan membantu kumpulan pulih dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi tahun kewangan penuh 2023 (FY23), kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM5.25 juta, kira-kira 69.7% lebih rendah daripada kerugian bersih RM17.35 juta yang dicatatkan pada FY22.

 

Perolehan setahun penuh adalah 18.6% lebih rendah kepada RM2.63 juta berbanding RM3.23 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lalu, kerana hanya terdapat satu anak syarikat yang beroperasi dalam perniagaan perkayuan.

 

Beliau menambah bahawa syarikat itu menantikan FY24 kerana inisiatif penjimatan kos yang berjaya pada FY23 dan kepelbagaiannya ke dalam perniagaan pengorekan pasir meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan menguntungkan.

 

Beliau juga berkata, pada Jun tahun lalu, kumpulan itu memeterai perjanjian usaha sama dengan OneOne Auro Marine Sdn. Bhd. untuk menjalankan kerja kontrak untuk mengorek, mengangkut dan memuatkan pasir marin dari kawasan konsesi untuk eksport dan tapak penambakan tempatan. - DagangNews.com