Kerugian bersih Auro Holdings bagi 3QFY24 susut kepada RM786,000 didorong langkah penjimatan kos | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Auro Holdings bagi 3QFY24 susut kepada RM786,000 didorong langkah penjimatan kos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Kerugian bersih Auro Holdings Berhad yang dahulunya dikenali sebagai NWP Holdings Berhad bagi suku ketiga berakhir 30 November 2023 (3QFY24) menyusut kepada RM786,000 berbanding RM1.25 juta pada suku sama tahun sebelumnya diorong oleh langkah penjimatan kos kumpulan itu.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan turut menyusut kepada RM350,000 berbanding RM820,000 bagi pada 3QFY23 kesan daripada jualan eksport yang lebih rendah dan jualan tempatan yang minimum.

 

"Pada masa sama, tiada hasil dijana daripada perniagaan pasir pada suku semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2023 (9MFY24), hasil kumpulan itu adalah sebanyak RM4.3 juta berbanding RM2.15 juta yang direkodkan dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Hasil yang lebih tinggi bagi tempoh berkenaan adalah disebabkan oleh sumbangan daripada perniagaan pasir walaupun jualan keseluruhan kayu yang lebih rendah.

 

"Bagi tempoh tersebut, kumpulan itu mencatatkan kerugian yang lebih rendah sebanyak RM1.05 juta berbanding kerugian RM5.16 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

 

"Kerugian kasar daripada segmen perkayuan adalah lebih rendah bagi tempoh yang ditinjau disebabkan oleh pengurusan perbelanjaan yang berhati-hati dan usaha penstrukturan semula kos termasuk pengurangan jumlah tenaga kerja," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, industri perkayuan di Malaysia berkemungkinan berhadapan peningkatan penelitian mengenai sumber yang mampan dan amalan perhutanan yang bertanggungjawab.

 

Katanya, walaupun menghadapi cabaran sedemikian, pengurusan akan terus memperkemas perniagaan perkayuannya dan menumpukan usaha untuk mengawal kos pengeluaran.

 

"Kumpulan itu berharap agar segmen pekrayuan yang sebelum ini mencatatkan kerugian kembali mencatatkan pemulihan tidak lama lagi," katanya. - DagangNews.com