Kerugian bersih teras Lotte Chemical Titan adalah selaras dengan unjuran CGS-CIMB bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih teras Lotte Chemical Titan adalah selaras dengan unjuran CGS-CIMB bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Kerugian bersih teras Lotte Chemical Titan Holding Berhad sebanyak RM281 juta pada 1QFY23 adalah selaras dengan 51% daripada unjuran kerugian bersih teras FY23 CGS-CIMB Research.

 

Kerugian itu juga menyumbang 44% daripada konsensus Bloomberg ia adalah jauh di bawah jangkaan firma itu.

 

"Kami menyemak turun unjuran harga jualan setahun penuh kami dan menaikkan anggaran kos nafta bagi mencerminkan jangkaan baharu kami untuk FY23 hingga FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mengalami kerugian kasar sebanyak RM97 juta pada 1QFY23 (sebelum ditolak perbelanjaan susut nilai), kerugian kasar suku tahunan ketiga berturut-turut.

 

Katanya, ia menunjukkan bahawa kumpulan itu tidak dapat menampung kos operasi tunainya, dan kumpulan itu melaporkan aliran keluar tunai operasi sebanyak RM124 juta untuk 1QFY23.

 

"Akibat daripada situasi yang teruk itu, kumpulan itu secara aktif mengurangkan kadar penggunaan lojinya kepada hanya 70% pada 1QFY23," katanya.

 

Firma itu berkata, Analisis Pasaran Kimia (CMA) menjangkakan purata harga polyethylene polymers (PE), polypropylene polymers (PP) dan monoethylene glycol (MEG) akan jatuh pada 2023 berbanding 2022 kesan permintaan yang lemah.

 

"Kami menjangkakan perkara itu akan menyebabkan kumpulan itu melaporkan kerugian besar pada FY23," katanya.

 

Firma itu berkata, pembukaan semula sempadan China pada awal 2023 pada mulanya mencetuskan pembelian spekulatif polimer di China, tetapi momentum itu hilang dalam menghadapi perbelanjaan pengguna dan permintaan eksport yang lemah kepada ekonomi yang dilanda inflasi di AS dan Eropah.

 

Katanya, walaupun permintaan untuk plastik pembinaan telah meningkat di China tetapi ia tidak mencukupi untuk menggerakkan permintaan keseluruhan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'kurang' akibat permintaan petrokimia yang lemah dan mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 99 sen sesaham. - DagangNews.com