Kesan lokasi kes COVID-19 menerusi sistem amaran awal HIDE, kata Khairy | DagangNews Skip to main content

Kesan lokasi kes COVID-19 menerusi sistem amaran awal HIDE, kata Khairy

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 8 Mei - Sepertimana dimaklumkan pada 4 Mei lepas, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju untuk mengeluarkan senarai lokasi serta premis berisiko yang dikenal pasti oleh sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebagai lokasi titik panas penularan COVID-19.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, perkongsian senarai lokasi ini bertujuan untuk membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum menuju ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko jangkitan COVID-19.

 

khairy
Khairy Jamaluddin

 

Selain itu, ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis masing-masing daripada menjadi pusat penularan jangkitan COVID-19.

 

aaa

 

kreatif

 

kreatif
Maklumat HIDE 8 Mei daripada MySejahtera

 

Analisis HIDE di bawah kendalian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ramalan ke atas premis-premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan COVID-19 dalam tempoh tujuh (7) hari berdasarkan pemantauan yang dilakukan.

 

"Penyenaraian lokasi serta premis ini amat penting dan wajar dilakukan memandangkan bilangan kes-kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan setiap hari berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

 

"Dalam tempoh tujuh hari yang lalu, sebanyak 23,712 kes baharu positif COVID-19 telah dicatatkan manakala kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) telah meningkat sebanyak 21% berbanding minggu sebelum ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Penyenaraian lokasi dan premis ini membolehkan intervensi awalan (preemptive) dan tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa, pemilik premis serta orang ramai bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu.

 

Antara intervensi awal yang dilakukan adalah menghantar notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera; kawalan pergerakan pengunjung/pelawat dengan lebih ketat; menghalang kemasukan pengunjung/pelawat dengan status berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera; mewujudkan sistem gelembung tempat kerja dan susunan bekerja dari rumah; serta melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja. 

 

"Orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan kunjungan ke lokasi atau premis yang disenaraikan. Sekiranya masih perlu mengunjungi lokasi atau premis tersebut, patuhi garis panduan yang telah ditetapkan serta sentiasa mengamalkan budaya normal baharu," kata Khairi.  - DagangNews.com

 

BACA JUGA : SOALAN-SOALAN LAZIM MENGENAI SISTEM AMARAN AWAL HIDE