Kestabilan inflasi teras, persekitaran luaran pengaruhi keputusan BNM kekal OPR pada paras 3 peratus sepanjang 2024 | DagangNews Skip to main content

Kestabilan inflasi teras, persekitaran luaran pengaruhi keputusan BNM kekal OPR pada paras 3 peratus sepanjang 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - MIDF Research percaya bahawa kestabilan inflasi teras serta persekitaran luaran yang mencabar akan mempengaruhi Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3 peratus sepanjang tahun ini.

 

Katanya, fokus penetapan dasar monetari BNM adalah bagi memastikan momentum pertumbuhan yang mampan kepada ekonomi Malaysia.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan perdagangan luar akan pulih namun persekitaran luaran kekal mencabar pada 2024 kesan daripada ketegangan geopolitik yang berterusan dan potensi pertumbuhan global yang lebih perlahan. 

 

"Prospek ekonomi domestik diramal kekal berhati-hati dan berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sebarang kenaikan, BNM kekal OPR pada kadar 3 peratus

 

Terdahulu, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan. 

 

Ekonomi global juga dijangka terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan domestik berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan untuk mengekalkan kadar OPR itu tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan peningkatan permintaan domestik.

 

Katanya, bagi prospektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar pasca pandemik memberi ruang kepada BNM untuk mengurus dengan lebih baik risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam keberhutangan isi rumah. - DagangNews.com