Ketiadaan projek infrastruktur mega baharu pada masa hadapan jejas sentimen pelabur terhadap negara, kata RHB Research | DagangNews Skip to main content

Ketiadaan projek infrastruktur mega baharu pada masa hadapan jejas sentimen pelabur terhadap negara, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 April - RHB Research mengunjurkan ketiadaan projek infrastruktur mega baharu pada masa hadapan selain MRT 3 akan memberi kesan terhadap sentimen pelabur terhadap negara.

 

Firma itu berkata, projek swasta menyaksikan peningkatan momentum tetapi ia masih belum mencukupi untuk memulihkan keseluruhan sektor pembinaan memandagkan saiz projek yang kecil dan tempih yang singkat.

 

Katanya, pada suku pertama 2023, nilai projek yang diberikan kepada kontraktor berjumlah RM25.1 bilion, angka suku tahunan terendah sejak suku ketiga 2020, menunjukkan kadar kelembapan projek baharu yang diberikan selepas pilihan raya umum ke-15 ( PRU-15).

 

"Anggaran awal kami menunjukkan bahawa perbelanjaan pembangunan (DE) pada 2024-2025 adalah mendatar (sebanyak RM83.6 bilion pada setiap tahun), walaupun kerajaan menyasarkan untuk memenuhi sasaran sebanyak MYR400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun projek MRT3 akan diteruskan dengan kos sebenar akan dikurangkan sebanyak RM5 bilion daripada kos asal RM50 bilion tetapi ketidaktentuan garis masa masih menjadi fokus utama kontraktor dan subkontraktor.

 

Katanya, pemberian kontrak utama untuk kerja-kerja kejuruteraan awam akan diberikan menjelang suku keempat 2023.

 

"Perkara itu selepas mengambil kira semakan kos, tempoh pemeriksaan awak selama tiga bulan dan kelulusan akhir kerajaan.

 

"Bagaimanapun, subkontraktor perlu menunggu beberapa bulan lagi selepas pemberian pakej kerja kepada kontraktor utama," katanya.

 

Pilihan utama firma itu dalam sektor berkenaan adalah Sunway Construction, Kerjaya Prospek and Gabungan AQRS.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor itu. - DagangNews.com