Ketua Menteri Pulau Pinang failkan saman terhadap Tan Kok Ping berhubung kenyataan fitnah | DagangNews Skip to main content

Ketua Menteri Pulau Pinang failkan saman terhadap Tan Kok Ping berhubung kenyataan fitnah

Mesyuarat Exco membuat keputusan agar Chow Kon Yeow (duduk tengah) memfailkan saman terhadap Tan Sri Tan Kok Ping berhubung kenyataan fitnah terhadapnya yang diterbitkan secara meluas dalam akhbar vernakular Cina.- Gambar ihsan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden Kehormat Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), Tan Sri Tan Kok Ping, kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

 

Majlis Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, mereka sebulat suara memutuskan bahawa Kon Yeow akan menyaman Kok Ping atas kenyataannya "yang mengaibkan dan merendahkan" ketua menteri.

 

Kenyataan itu dikeluarkan pada sidang media yang diadakan oleh pertubuhan berkenaan, semalam.

 

“Sebarang tindakan undang-undang akan dinasihatkan oleh peguam untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

 

BACA JUGA: Walaupun perjanjian Umech Land dibatalkan, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang persoal bagaimana perjanjian kontroversi dimeterai

 

Sin Chew Daily semalam memetik Kok Ping, yang berkata bahawa Kon Yeow "tidak cekap, sombong, dan tidak tahu malu" dalam mengelak soalan mengenai penjualan sebidang tanah perindustrian di Batu Kawan.

 

Awal bulan ini, PCCC membangkitkan isu keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk menjual tanah seluas 226.2 hektar kepada Umech Construction Sdn Bhd, yang didakwa PCCC telah dijual dengan ketara di bawah nilai pasaran. 

 

PCCC juga mempersoalkan mengapa penjualan itu tidak dilakukan melalui tender terbuka. - DagangNews.com