Keuntungan KPJ Healthcare diramal meningkat, Hospital Pakar Damansara 2 di landasan tepat kurangkan kerugian - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Keuntungan KPJ Healthcare diramal meningkat, Hospital Pakar Damansara 2 di landasan tepat kurangkan kerugian - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Keuntungan KPJ Healthcare Bhd diramal bertambah baik dengan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) berada di landasan tepat mengurangkan kerugian bersihnya kesan daripada operasi yang lebih cekap.

 

RHB Investment berkata, lima hospital KPJ yang berada dalam tempoh tunggu hasil melaporkan kerugian bersih yang lebih kecil sebanyak RM10 juta pada 2QFY24 berbanding RM25 juta pada 1QFY24. 

 

Katanya, empat daripada lima hospital sudah menjana pendapatan sebelum faedah, pencukaian, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) positif sejak Januari 2024 berdasarkan kepada peningkatan kecekapan operasi.

 

"Purata hasil DSH2 sebulan meningkat kepada RM10 juta pada 2QFY24 berbanding antara RM3 juta hingga RM4 juta pada 2023.

 

"Kejayaan utama DSH2 disokong oleh rawatan intensiti yang ditawarkan seperti pembedahan robotik Da Vinci XI dan pembedahan jantung invasif minima dengan bantuan peralatan perubatan canggih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KPJ Healthcare catat peningkatan 62% untung bersih kepada RM76 juta, isytihar dividen satu sen

 

Terdahulu, suku tahunan kumpulan  meningkat 18.5% kepada RM930.56 juta, daripada RM785.36 juta setahun sebelumnya, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan kadar penghunian katil (BOR) daripada peningkatan lawatan pesakit dan peningkatan kapasiti katil pada suku semasa.

 

Segmen Malaysia menyumbang pendapatan RM914.2 juta pada 2QFY24, iaitu 98% daripada pendapatan keseluruhannya pada suku tersebut, serta 19% lebih tinggi daripada RM770.5 juta yang dicatatkan pada 2QFY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, KPJ merekodkan hasil sebanyak RM56 juta pada 2QFY24 bagi segmen pelancongan kesihatan dipacu kemasukan lebih tinggi pesakit dari Indonesia.

 

Katanya, pengurusan menetapkan sasaran 20% sumbangan daripada segmen pelancongan kesihatan dalam tempoh dua tahun akan datang dengan memanfaatkan penubuhan pusat kecemerlangan di setiap hospital utamanya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham," katanya.- DagangNews.com