Keuntungan Saudi Aramco susut 44.6% disebabkan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Saudi Aramco susut 44.6% disebabkan COVID-19

 

 


RIYADH 3 Nov. - Keuntungan syarikat minyak gergasi, Saudi Aramco merosot 44.6% pada suku ketiga ekoran pandemik COVID-19 terus memberi tekanan kepada permintaan minyak mentah global. 

Menurut AFP, syarikat paling bernilai di dunia itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak AS$11.79 bilion berbanding AS$21.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu. 

Prestasi yang direkodkan itu seiring dengan jangkaan penganalisis tetapi berbeza dengan kerugian yang dilaporkan pesaing Saudi Aramco, yang terkesan dengan sekatan bagi mengekang wabak COVID-19 sekali gus menekan keperluan tenaga. 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih Aramco juga susut 48.6% kepada AS$35.02 bilion.  

Walaupun prestasi kewangannya menunjukan pasaran minyak yang perlahan, tetapi syarikat itu mencatatkan peningkatan pada suku berkenaan berbanding suku sebelumnya, dengan keuntungan AS$6.57 bilion. 

Ketua Eksekutif Aramco, Amin Nasser berkata, terdapat tanda-tanda pemulihan aktiviti ekonomi pada suku ketiga walaupun berdepan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.  

"Untuk itu, kami akan terus melaksanakan pendekatan yang fleksibel dalam perbelanjaan modal bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran dan yakin syarikat mampu menangani cabaran ini bagi mencapai objektif kami," katanya dalam kenyataan. 

Menurut beliau, Aramco komited untuk membayar dividen sebanyak AS$18.75 bilion kepada pemegang saham bagi suku ketiga ini, satu jumlah yang melebihi keuntungan dinyatakan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Asia Barat Nomura Asset Management, Tarek Fadlallah menyifatkan bayaran dividen Aramco kini adalah lebih besar daripada pendapatan yang diraihnya. 

"Ini bukan satu masalah jika harga minyak kembali pulih tahun hadapan, tetapi jika sebaliknya, ia satu masalah besar," katanya. 

Secara dasarnya, Aramco adalah 'kilang duit' kerajaan Saudi yang dapat membantu menguruskan perbelanjaan bajet yang semakin besar. 

Aramco disenaraikan di papan utama Saudi, Disember lalu selepas tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di dunia itu mengumpul dana sehingga AS$29.4 bilion bagi 1.7% sahamnya.  

Bulan lalu, beberapa syarikat gergasi termasuk ExxonMobil dan Chevron merekodkan kerugian disebabkan ketidaktuan dalam permintaan minyak hingga memaksa sektor tenaga mengekang perbelanjaan. 

Walaupun prestasi Aramco sebaliknya mencerminkan 'daya tahan' syarikat itu, ia turut tidak terkecuali mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan modal tahun ini dan mengurangkan tenaga kerja dalam usaha mengurangkan kos, menurut laporan Bloomberg, Jun lalu.  

Ini kerana Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia menerima impak daripada harga minyak yang rendah dan pengurangan pengeluaran. - DagangNews.com