Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Ericsson dilihat mampu melaksanakan tugasnya dengan baik untuk memastikan rangkaian teknologi kelima (5G) di negara ini berjalan lancar.
Ini kerana menurut Kenanga Investment Bank Research, masih terdapat kebimbangan terhadap perbezaan rangkaian ekoran keputusan kerajaan mewujudkan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelan pelaksanaan 5G.
Penganalisisnya, Lim Khai Xhiang berkata, kebimbangan ini berdasarkan risiko SWN seperti yang ditunjukkan di pasaran lain seperti Kenya, Rusia dan Afrika Selatan ekoran kegagalan pelaksanaan, pelancaran yang lembap, kualiti perkhidmatan lemah dan cabaran dari segi keuntungan.
Katanya, persepsi negatif terhadap SWN ini akan menyebabkan pelabur asing kurang berminat melabur dalam sektor telekomunikasi di Malaysia dalam tempoh terdekat.
"Namun, kami percaya risiko ini adalah minimum, memandangkan Digital Nasional Bhd. (DNB) telah melantik Ericsson, sebuah syarikat telekomunikasi yang mempunyai reputasi di peringkat global dan pengalaman luas untuk menjayakan pelancaran 5G ini.
"Pada masa sama, kami juga percaya kerajaan akan menyediakan insentif dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang baik sejajar dengan aspirasinya untuk mengurangkan jurang keterhubungan dan memanfaatkan rangkaian 5G bagi ke arah ekonomi digital," jelasnya.
DNB adalah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada awal tahun ini, bertanggungjawab untuk pelaksanaan SWN bagi 5G di Malaysia.
SPV itu akan menjadi penerima tunggal spektrum 5G, terdiri daripada 700 megahertz (MHz), 3.5 gigahertz (GHz) dan 26/28GHz, bersama dengan lesen borong.
Pada Julai 2021, ia memberikan kontrak infrastruktur 5G kepada Ericsson Malaysia selepas menjalankan langkah tender rangkaian 5G.
Secara dasarnya, pelaksanaan 5G di Malaysia dipercepatkan setahun lebih awal iaitu pada suku keempat 2021 berbanding 2022 yang diumumkan sebelum ini.
Pelaksanaan 5G akan dilaksanakan di lokaliti terpilih manakala pelaksanaannya di kawasan berkepadatan tinggi menjelang 2023.
Menurut Khai Xhiang, apabila negara mula bergerak ke arah 5G, ia akan menyaksikan tekanan ke atas margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA).
Katanya, dengan penutupan rangkaian 3G menjelang akhir tahun ini, syarikat rangkaian mudah alih akan memindahkan pelanggannya kepada peranti 4G menerusi tawaran harga yang kompetitif.
Oleh itu, tambahnya, kos peranti yang lebih tinggi dijangka menghimpit margin EBITDA pada separuh kedua tahun ini.
"Ini ditambah pula dengan rangkaian 5G yang mana pelanggan perlu menaik taraf peranti mereka untuk mendapatkan akses tersebut.
"Meskipun, syarikat telekomunikasi kini menyediakan rangkaian tersebut, kami percaya harga untuk peranti 5G adalah kompetitif dalam usaha menarik pelanggan baharu.
"Keadaan ini akan terus meningkatkan kos perantai, dan seterusnya membebankan lagi margin EBITDA," jelasnya.
Memandangkan terdapat akses yang sama rata untuk mendapatkan rangkaian 5G ini, beliau bagaimanapun tidak menjangkakan kemungkinan penyertaan peserta baharu dalam ruang mudah alih.
Namun, katanya, peserta baharu yang berpotensi perlu menunggu sehingga liputan 5G lebih meluas.
"Untuk kembali semula kepada rangkaian 4G dan 2G, peserta baharu perlu membuat perjanjian perayauan domestik dengan syarikat mudah alih sedia ada.
"Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, ia dijangka terus memberi kesan kepada purata hasil setiap pengguna (ARPU)," katanya.
Firma itu turut menjangkakan syarikat telekomunikasi merekodkan pertumbuhan yang lemah pada suku ketiga ini dan menyaksikan penurunan pertumbuhan dari segi langganan tetap pada suku keempat.
"Tetapi, kami melihat kerjasa Astro Malaysia Holdings Bhd. dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) minggu lalu, tidak menjejaskan langganan tetap syarikat telekomunikasi, yang mana pengguna bergantung dan percaya kepada rangkaian internet," jelasnya.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi kerana kurangnya pemangkin dan penarafan semula dalam tempoh terdekat dengan hasil dividen juga sekitar 3 hingga 3%.
Dalam pada itu, Khai Xhiang berkata, dalam tempoh 3 minggu lagi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengumumkan pembida yang berjaya bagi tender fasa pertama Jendela.
Ia membabitkan tender bernilai RM4.6 bilion bagi membina 1,661 menara dan memasang rangkaian serta perkakasan elektronik yang diperlukan.
"Sehubungan itu, kami melihat OCK Group Bhd akan mendapat kelebihan dalam ruang ini, kerana boleh memanfaatkan pembinaan dan pengurusan lebih banyak menara telekomunikasi.
"Dengan mengambil kira hubungan baik OCK dengan Ericsson, kami tidak terkejut sekiranya OCK memenangi kerja-kerja bagi pelancaran rangkaian 5G," jelasnya.
Malah, ia juga berpendapat, TM akan mendapat manfaat daripada pajakan rangkaian fiber bagi pelancaran 5G, pusat data dan perkhidmatan awan serta pertumbuhan daripada segmen Unifi.
"Axiata Bhd. pula dalam kedudukan yang baik untuk meraih pertumbuhan daripada pemulihan ekonomi serantau berdasarkan urus niaganya di Malaysia dan Indonesia dan perkhidmatan digital," tambah firma berkenaan. - DagangNews.com