Keyakinan terhadap prospek pasaran, Paramount dijangka lepasi sasaran jualan sebanyak RM1.4 bilion pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Keyakinan terhadap prospek pasaran, Paramount dijangka lepasi sasaran jualan sebanyak RM1.4 bilion pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Paramount Corp Bhd yakin terhadap prospek pasaran dan dijangka melepasi sasaran jualan sebanyak RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2024 (FY24) disokong oleh tujuh pelancaran projek baharunya dengan nilai pembanngunan kasar (GDV) sebanyak RM2.4 bilion.

 

TA Securities berkata, tujuh pelancaran baharu itu termasuk fasa baharu projek semasanya, serta projek lain dalam perancangannya.

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pembangunan kediaman bertingkat tinggi mewah, The Ashwood yang terletak di Taman U-Thant akan diterima baik.

 

"Ia berdasarkan kejayaan penjualan projek pada 2021 dengan harga jualannya yang menarik antara RM1,100 hingga RM1,200 setiap kaki persegi berbanding dengan hartanah bersebelahan berharga RM1,400 setiap kaki persegi.

 

"Projek The Ashwood sahaja, yang mempunyai GDV sebanyak RM758 juta, menyumbang 32% daripada jumlah keluaran FY24 kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

TA Securities berkata, bahagian ruang kerjasa bersama sedang menjalani pengembangan melangkaui Lembah Klang dan menggandakan jumlah ruang di bawah pengurusannya kepada 300,000 kaki persegi di seluruh negara.

 

Katanya, dua ruang kerja bersama baharu, Co-labs Coworking Ken TTDI dan Co-labs Coworking The Five memiliki kadar penghunian sebanyak 50% dan 40%.

 

Bahagian itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.96 juta iaitu peningkatan berbanding kerugian bersih RM579,000 pada FY22.

 

"Perubahan itu didorong oleh keuntungan lebih tinggi daripada semua raung kerja bersama Co-labs," katanya.

 

Sehingga 31 Disember 2023, kadar penghunian purata untuk ruang kerja bersamanya berada pada paras 66%, penurunan 4% daripada kadar tahun sebelumnya sebanyak 70%, yang dipercayai sebahagian besarnya disebabkan oleh pengembangannya seluas 37,000 kaki persegi di suku keempat 2023.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu sebanyak 1.4% pada FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM1.47 sesaham," katanya. - DagangNews.com