Khalid Samad positif COVID-19, kuarantin kendiri sejak 4 Ogos | DagangNews Skip to main content

Khalid Samad positif COVID-19, kuarantin kendiri sejak 4 Ogos

SHAH ALAM 12 Ogos – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sedang menjalani kuarantin kendiri di rumahnya sejak 4 Ogos lalu selepas salah seorang kakitangannya positif COVID-19.

 

Beliau berkata, walaupun pada mulanya ujian kendiri COVID-19 (Rapid Antigen Test) yang dilakukannya di rumah menunjukkan keputusan negatif, dia meneruskan tempoh kuarantin disebabkan kontak rapat.

 

Bagaimanapun, Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Amanah berkata dia mengambil keputusan untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 itu selepas seorang lagi kakitangannya didapati positif hari ini.

 

“Bila kakitangan saya hari ni beritahu hari ni yang dia positif (COVID-19), saya pun buat self-test (ujian kendiri) hari ni juga. Self-test tu saya dapati positif.

 

“Tetapi oleh kerana self-test tu not very dependable (tidak begitu tepat), itu yang saya pergi untuk buat PCR (ujian saringan tindak balas berantai polimerase),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

 

Dia berkata, kakitangan yang didapati positif hari ini sering berjumpa dengannya untuk urusan pentadbiran seperti menghantar dokumen kepadanya.

 

Katanya, setakat ini dia tidak mengalami sebarang gejala dan sedang menunggu keputusan ujian RT-PCR yang dijangka petang esok.


 

khalid

 

 

Perkembangan terbaharu ini menimbulkan tanda-tanya mengenai status Ahli-ahli Parlimen lain kerana Khalid turut terlibat berhimpun di Dataran Merdeka memprotes `penutupan’ sidang Dewan Rakyat berikutan penularan pandemik di Parlimen.

 

Malah, lebih menarik perhatian, Khalid dirakam gambar tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam perhimpunan tersebut. – DagangNews.com