Khazanah diberikan penarafan A3 dan A- daripada Moody's, S&P Global | DagangNews Skip to main content

Khazanah diberikan penarafan A3 dan A- daripada Moody's, S&P Global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) diberikan penarafan kredit penerbit pertamanya iaitu A3 dan A-, masing-masing daripada Moody's Investors Service dan S&P Global Ratings.

 

Penarafan kredit gred pelaburan itu mengesahkan keupayaan Khazanah yang kukuh bagi memenuhi komitmen kewangannya, rekod prestasi pelaburan dan dasar pendanaan yang baik dan pembiayaan yang kukuh serta peranan penting dalam mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia.

 

Berdasarkan analisis Moody's dan S&P, penarafan A3/A- Khazanah disokong oleh hubungan kukuhnya dengan Kerajaan Malaysia, kepentingan Khazanah dalam aset-aset strategik negara merentas sektor-sektor utama dan peranannya dalam menyokong dan melaksanakan objektif sosioekonomi kerajaan.

 

Moody's juga menyatakan keupayaan Khazanah untuk memanfaatkan pendanaan luaran, rekod prestasi dalam amalan dan dasar kewangan konservatif, dan komitmen untuk beroperasi dalam tahap keumpilan yang disasarkan yang dinyatakan secara umum.

 

Kekuatan kredit 'standalone' Khazanah disederhanakan oleh penumpuan geografi tinggi portfolionya di Malaysia dan kerentanan terhadap turun naik pasaran yang menyebabkan turun naik dalam nilai portfolionya seperti dihadapi dana kekayaan berdaulat negara lain.

 

Khazanah dijangka terus mengimbangi semula portfolionya untuk mempelbagaikan pelaburannya dan mengurangkan pendedahan kepada risiko penumpuan.

 

Sejak 2004, Khazanah telah menjadi penerbit tetap dalam pasaran modal global dan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab terkemuka bagi kewangan Islam melalui urus niaga yang menjadi mercu tanda termasuk sukuk boleh tukar pertama dunia dan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab pertama negara.

 

Memandangkan Khazanah tidak menerima kemasukan modal biasa, ia bergantung pada keupayaannya untuk menjana pulangan dan memanfaatkan pasaran modal untuk membiayai pelaburannya.

 

Secara kebiasaannya, Khazanah menikmati akses kepada pasaran modal, malah berjaya menetapkan harga sukuk tidak dinilai taraf semasa kemuncak pandemik COVID-19.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pihaknya gembira dengan penarafan tersebut kerana ia mempamerkan kekuatan dan ketahanan kewangan Khazanah. 

 

Beliau berkata, tumpuan Khazanah kekal terhadap pengimbangan semula portfolio dan penciptaan nilai untuk Malaysia. 

 

"Melengkapkan peralihan portfolio dan mengurangkan hutang secara sistematik adalah penting untuk mengukuhkan penyata imbangan Khazanah yang membolehkan kami memenuhi mandat untuk memajukan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com