Khazanah lengkapkan pengambilalihan MAVCAP dan Penjana Kapital, perkukuh ekosistem modal teroka Malaysia | DagangNews Skip to main content

Khazanah lengkapkan pengambilalihan MAVCAP dan Penjana Kapital, perkukuh ekosistem modal teroka Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Khazanah Nasional melengkapkan pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital, hari ini.

 

Menerusi pengambilalihan itu, MAVCAP dan Penjana Kapital kini adalah anak syarikat penuh Khazanah. 

 

Pengambilalihan itu akan diikuti dengan penubuhan sebuah National Fund of-Funds (NFOF) dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk dilabur dalam syarikat pemula yang inovatif dan mempunyai pertumbuhan tinggi melalui dana modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian.

 

Ia juga dijangka meningkatkan koordinasi dan pemusatan sumber kerajaan, memudahkan usaha untuk memajukan ekosistem syarikat pemula Malaysia serta memperkukuhkan daya saing ekosistem syarikat pemula pada peringkat serantau. 

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, integrasi MAVCAP dan Penjana Kapital memberi peluang kepada NFOF meneruskan usaha membangunkan ekosistem melalui asas-asas kukuh yang telah dibina oleh kedua-dua entiti di samping melaksanakan inisiatif baru yang bertujuan memperkukuhkan lagi ekosistem VC Malaysia.

 

Beliau berkata, pada masa sama, penubuhan NFOF ini selari dengan inisiatif Future Malaysia Programme Khazanah yang bertujuan menyokong ekosistem usahawan syarikat pemula tempatan, syarikat pemula, VC, dan program modal teroka korporat melalui kerjasama dengan rakan-rakan domestik dan antarabangsa.

 

"Khazanah yakin bahawa pengalaman dan sumber kolektif daripada MAVCAP dan Penjana Kapital akan meningkatkan akses kepada modal bagi syarikat pemula, memacu inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi. 

 

"Ia seiring dengan aspirasi Ekonomi Madani untuk ‘meningkatkan siling’ melalui industri yang dipacu oleh inovasi digital dan menyokong syarikat berpertumbuhan tinggi untuk menjadi juara serantau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Inisiatif itu adalah salah satu tonggak utama visi Malaysia untuk menjadi hab modal teroka serantau pilihan menjelang 2030, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia 2024-2030 (MVCR) dan Kertas Tindakan KL20.

 

Amirul Feisal berkata, Khazanah mengiktiraf sumbangan dan komitmen MAVCAP dan Penjana Kapital. Visi dan dedikasi mereka terhadap ekosistem VC selama ini sangat berharga, dan kami berharap untuk menggabungkan kekuatan serta pengalaman bagi mencapai visi bersama memajukan Malaysia. - DagangNews.com