Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com
SHAH ALAM 2 April – Perkhidmatan penghantaran, Tapaw menyediakan platform digital yang mesra pengguna disamping memberi peluang kepada komuniti dan peniaga di seluruh negara untuk menjana pendapatan melalui aplikasi Tapaw.
Ketua Pegawai Eksekutif Tapaw Groups Sdn Bhd, Dato Anuar A Rahman berkata, aplikasi Tapaw merupakan platfom yang menyediakan perkhidmatan logistik dan penghantaran yang pantas dan meluas dengan pelbagai pilihan jenis kenderaan yang beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar.
Menurutnya, aplikasi Tapaw kini mempunyai jumlah pendaftaran sebanyak 60,000 rakan logistik pemandu berdaftar di seluruh Malaysia.
"Pihak syarikat menyasarkan 100,000 peluang pekerjaan sampingan kepada komuniti diseluruh negara terutamanya kepada mereka yang terjejas dengan pandemik COVID-19 untuk menjana pendapatan tambahan.
"Syarikat Tapaw juga menawarkan peluang perniagaan kepada 50,000 peniaga untuk berniaga di platfom digital Tapaw Mall yang akan dilancarkan pada pertengahan April 2021. Penyediaan platfom Logistik Pintar dan Penghantaran Pantas yang tentunya akan memberi manfaat kepada pemain Industri Kecil dan Sederhana di samping menyokong inisiatif kerajaan dalam usaha mentransformasikan perniagaan ke arah digital," katanya.
Tapaw Groups akan menganjurkan Kursus Kepimpinan dan Watikah Lantikan Tapaw Peringkat Kebangsaan 2021 yang akan berlangsung selama satu hari bermula 7 pagi sehingga 10.30 malam pada 4 April 2021 bertempat di Grand Ballroom, Hotel De Palma, Shah Alam.
Kursus tersebut disertai oleh 70 peserta yang terdiri daripada rakan niaga Tapaw dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kursus yang bermodulkan kepimpinan ini bertujuan untuk melahirkan rakan niaga yang berkualiti di samping memberi pendedahan yang lebih luas dan komprehensif terutama mengenai pelan strategi dan hala tuju syarikat untuk mewakili syarikat dalam membantu rakan logistik pemandu, peniaga Industri Kecil dan Sederhana serta pengguna aplikasi Tapaw untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik.
Majlis perasmian dan penyerahan watikah lantikan dijadual akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff selaku Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Kursus Kepimpinan tersebut menekankan beberapa aspek penting seperti kemahiran kepimpinan, penjenamaan peribadi dan Imej, dan strategi pemasaran yang disampaikan oleh penceramah jemputan serta perkongsian hala tuju syarikat oleh Dato Anuar.
Komuniti masyarakat berpeluang menjadi sebahagian daripada Tapaw sebagai pemandu rakan logistik, peniaga dan juga pengguna dengan membuat pendaftaran secara percuma di laman web tapaw.com dan muat turun aplikasi Tapaw di Apps Store dan Google Play store. - DagangNews.com