Kilang ditutup 2 minggu lagi, Central Global susun langkah penjimatan aliran tunai | DagangNews Skip to main content

Kilang ditutup 2 minggu lagi, Central Global susun langkah penjimatan aliran tunai

Central Global Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Syarikat pengeluar pita penutup dan label stok selain kontraktor am binaan, Central Global Berhad (Central Global) membuat penyusunan aliran tunai bagi memastikan kelestarian perniagaannya.

 

Langkah itu dibuat setelah kilang syarikat berkenaan diarahkan untuk terus ditutup selama dua minggu lagi hingga 1 Ogos 2021.

 

Kilang berkenaan sebelum ini menerima arahan penutupan sejak 5 Julai 2021.

 

Arahan itu adalah berikutan keputusan kerajaan yang menyambung perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu di Kuala Muda, Kedah yang merupakan lokasi kilang syarikat tersebut.

 

Pengerusi Eksekutif Central Global, Datuk Faisal Zelman berkata, pihaknya sentiasa berwaspada dengan prospek 2021 disebabkan ketidaktentuan susulan meningkatkan kes positif COVID-19.

 

"Sementara kami berterusan merebut peluang daripada landskap persaingan serantau yang berpecah-pecah dan gangguan meluas kepada rantai bekalan tempatan, kami juga maklum terhadap risiko-risiko yang ada.

 

“Kami memiliki tunggakan tempahan untuk dipenuhi yang akan memastikan kilang kami sibuk sehingga akhir tahun tetapi operasi telah terjejas disebabkan PKPD. Kami secara konsisten berunding dengan pihak berkuasa di sebalik langkah-langkah PKP yang telah dikuatkuasakan di dalam zon PKPD. 

 

"Kami berjaya memperoleh kebenaran untuk beroperasi secara sebahagian, setelah dikategorikan di dalam Industri Penting (Pembungkusan) semasa tempoh PKP 1.0 dan kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan peraturan serupa bagi PKPD sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

.
Faisal Zelman

 

Dalam pada itu, Central Global yang menggaji hampir keseluruhannya pekerja tempatan turut memberi jaminan kepada para pemegang saham bahawa pihak pengurusan akan melakukan sebaiknya bagi memastikan kelestarian perniagaan dan mengekalkan kecekapan dan kualiti operasi.

 

Central Global mempunyai dua mesyuarat berjadual tahunan bagi meneliti kawalan dalaman operasi perkilangan kumpulan dan pengurusan risiko di bawah kerangka kerja pengurusan risiko bagi menangani risiko perniagaan dan operasi. 

 

Proses perkilangan kumpulan yang cekap memastikan kos kekal di bawah kawalan selain memacu produktiviti dan kualiti menerusi program saranan serta skim ganjaran kakitangan.

 

“Kami akan memantau situasi dan kekal mematuhi semua prosedua standard operasi seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan garis panduan Kementerian Kesihatan security Council bagi memastikan keselamatan dah kesihatan kakitangan dan vendor kami. 

 

"Sementara itu, kami perlu menguruskan harapan pelanggan di dalam memenuhi tempahan mereka," katanya lagi. - DagangNews.com