Kilang sarung tangan Mah Sing siap April 2021 | DagangNews Skip to main content

Kilang sarung tangan Mah Sing siap April 2021

Mah Sing

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Kilang pembuatan sarung tangan syarikat Mah Sing Berhad (Mah Sing) dibangunkan mengikut perancangan dan bakal siap menjelang April 2021.

 

MIDF Research berkata, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Mah Sing dalam perjumpaan maya berkaitan prospek hartanah dan pembuatan sarung tangan syarikat berkenaan.

 

"Kilang pembuatan sarung tangan di Kapar, Selangor dibangunkan mengikut perancangan dan akan disiapkan menjelang April 2021 yang mana dua barisan pengeluaran akan mula beroperasi.

 

"Enam barisan pengeluaran akan memulakan pengeluaran pada suku kedua 2021, dan enam barisan pengeluaran lain pula akan memulakan pengeluaran pada suku ketiga 2021 dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 3.68 bilion setiap tahun," kata MIDF Research.

 

Mah Sing sebelum ini terkenal sebagai syarikat pengendali hartanah mula melibatkan diri dalam perniagaan dan pembuatan sarung tangan untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya.

 

Dalam pertemuan maya itu juga, Mah Sing turut mengekalkan sasaran penjualan hartanah baharunya berjumlah RM1.1 bilion untuk tahun kewangan 2020.

 

Pihak pengurusannya syarikat berkenaan memberi keyakinan penuh untuk mencapai sasaran berkenaan.

 

Mah Sing memperoleh jumlah jualan baharu sebanyak RM418 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2020.

 

Syarikat berkenaan meletakkan harapan agar jumlah jualan berkenaan meningkat untuk separuh kedua 2020.

 

Jumlah jualan baharu hartanahnya dijangka akan disokong oleh projek hartanah M Luna di Kepong dan M Adora di Wang Melawati serta pelancaran projek baharu seperti Carya di M Aruna, Rawang dan M Vertica di Cheras.

 

"Selepas perjumpaan dengan Mah Sing, kami mengekalkan ramalan pendapatan syarikat berkenaan kerana penjualan hartanah untuk Mah Sing kekal stabil sementara kilang sarung tangan berada di landasan untuk mula beroperasi pada April 2021.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' saham Mah Sing dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM1.07," tambah MIDF Research lagi. - DagangNews.com