Kim Loong hadapi masalah kekurangan tenaga kerja - TA Research | DagangNews Skip to main content

Kim Loong hadapi masalah kekurangan tenaga kerja - TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Kim Loong Resources Berhad masih mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja antara 10% hingga 20% berbanding keperluan keseluruhannya.

 

TA Research berkata, akibat maslaah itu, tempoh tuaian buah tandan segar (BTS) kumpulan itu memakan masa sehingga 20 hari berbanding kebiasaan 15 hari.

 

"Nisbah buruh tanah semasa ialah seorang pekerja untuk lebih daripada 20 hektar dan pengurusan berharap dapat mengurangkannya kepada nisbah ideal 18 hektar bagi setiap pekerja.

 

"Menurut pengurusan, terdapat beberapa kelewatan dalam menerima pekerja asing dari Indonesia ketika ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, menurut pengurusan, kos pengeluaran telah meningkat kepada RM2,150/tan pada FY23 berbanding RM1,670/tan pada FY22.

 

Katanya, peningkatan kos itu disebabkan kenaikan gaji minimum, hasil BTS lebih rendah, kos baja yang lebih tinggi dan levi yang lebih tinggi diserap.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan kos pengeluaran kekal tidak berubah atau akan mencatatkan sedikit penurunan pada FY24," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM4.6 juta daripada membekalkan kuasa kepada grid TNB daripada loji biogasnya pada FY23 disebabkan kerosakan enjin biogas.

 

Melangkah ke hadapan, pihak pengurusan menjangkakan pendapatan akan berkembang kerana loji biogas di Keningau telah memulakan bekalan kuasa kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada Disember 2022 manakala sebuah lagi loji biogas di Telupid dijangka mula beroperasi pada 2HFY24.

 

"Kami difahamkan lebihan elektrik itu boleh dijual kira-kira 46 sen/kilowatt," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga RM1.75 sesaham. - DagangNews.com