KIP REIT teroka peluang pengambilalihan dalam sektor runcit dan industri, kata TA Research | DagangNews Skip to main content

KIP REIT teroka peluang pengambilalihan dalam sektor runcit dan industri, kata TA Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - KIP Real Estate Investment Trust (REIT) semakin proaktif meneroka peluang pengambilalihan dalam sektor runcit dan perindustrian sebagai usaha mengembangkan asetnya.

 

TA Research berkata, pengembangan asas aset industrinya dengan penyewaan jangka panjang dan pulangan yang stabil akan terus mempamerkan prestasi teguh bagi kumpulan itu.

 

Firma itu juga positif terhadap pendapatan tahun kewangan suku keempat 2023 (4QFY23) kumpulan.

 

"Ini akan disokong oleh pertumbuhan segmen runcit dan portfolio komuniti sedia ada REIT terutama dalam memenuhi keperluan penting," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TA Research mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM1.05 sesaham berdasarkan hasil sasaran 2024 sebanyak 6.75%.

 

KIP REIT mencatatkan keuntungan bersih RM29 juta bagi tempoh 9MFY23 dan ia tidak termasuk perbelanjaan sekali sahaja dengan memperoleh tiga hartanah perindustrian sebanyak RM1.8 juta.

 

"Prestasi bertambah baik itu disebabkan oleh asas yang rendah pada FY22 disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan penuh dan pendapatan pajakan daripada tiga hartanah perindustrian yang baru diambil alih di Klang.

 

"Pengambilalihan itu dibuat pada 14 Disember 2022.

 

"Bagaimanapun, perbelanjaan hartanah yang lebih tinggi seperti utiliti, kos pembayaran balik dan penyelenggaraan bangunan menyebabkan margin keuntungan bersih 9MFY23 menguncup sebanyak 3.3% mata kepada 74.8%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan unjuran pendapatannya untuk kumpulan itu. - DagangNews.com