Kiplepay peroleh kelulusan BNM perkenal 3 ciri baharu e-dompet | DagangNews Skip to main content

Kiplepay peroleh kelulusan BNM perkenal 3 ciri baharu e-dompet

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kiplepay Sdn Bhd (KPSB), anak syarikat milik penuh Green Packet Bhd telah menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkenalkan tiga ciri baharu perniagaan e-wang miliknya yang mengendalikan e-dompet ‘kiplePay’.

 

Menurut Kiplepay, ciri tersebut ialah had baharu e-dompet sebanyak RM10,000 menerusi kerjasama dengan rangkaian pembayaran terbesar dunia bagi mengeluarkan kad skim prabayar berserta kemudahan Kenali Pelanggan Anda atau ‘Electronic Know-Your-Customer’ (e-KYC). 

 

“Ciri e-KYC ini dapat mengenal pasti pelanggan secara digital menerusi penilaian usaha wajar dan risiko dengan menganalisis maklumat yang ada,” katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

 

KPSB juga kini boleh mengeluarkan kad prabayar fizikal dan secara maya yang dihubungkan dengan e-dompet kiplePay dan membantu pengguna membuat bayaran untuk mana-mana peniaga dalam dan luar talian yang menerima bayaran secara digital.

 

“Pengguna kiplePay dapat melakukan transaksi had e-dompet lebih tinggi sehingga RM10,000 dengan memanfaatkan aplikasi mudah alih kiplePay atau kad prabayar kiplePay,” katanya.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  KPSB  Ricky Lew berkata syarikat itu menyasarkan untuk muncul sebagai penerbit kemudahan e-wang yang membolehkan pelanggan menikmati pengalaman memanfaatkan digital secara lancar, selamat dan berkesan.

 

“Peningkatan had e-dompet itu turut membuka jalan bagi perkhidmatan baharu seperti kiriman wang, pembukaan akaun dan pengendalian barang dagangan dalam jumlah besar,” katanya. - DagangNews.com