KJTS raih kontrak bernilai RM6.6 juta daripada Syarikat Takaful Malaysia | DagangNews Skip to main content

KJTS raih kontrak bernilai RM6.6 juta daripada Syarikat Takaful Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - KJTS Group Bhd menerusi KJ Technical Services Sdn Bhd (KJTSSB) meraih kontrak bernilai RM6.6 juta daripada Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd bagi kerja-kerja penggantian sistem penyejuk dan penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M) di Menara Takaful di Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu berkata, di bawah terma kontrak itu, KJTSSB akan melaksanakan kerja-kerja penggantian sistem penyejuk dalam tempoh lapan bulan diikuti komitmen selama sedekad bagi perkhidmatan O&M  selain meningkatkan kemampanan dan kecekapan infrastruktur penyejukan kumpulan.

 

Katanya, sejumlah RM3 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penggantian sistem penyejuk yang akan dibayar secara ansuran selama lapan bulan manakala perkhidmatan O&M bernilai RM3.6 juta akan dibayar sepanjang tempoh perkhidmatan selama 10 tahun.

 

"Kerja-kerja penggantian sistem penyejuk sudah dimulakan pada 1 Mac dan dijangka siap pada 31 Oktober 2024.

 

"Perkhidmatan O&M ditetapkan untuk bermula pada 1 November 2024 dan dijangka siap pada 31 Oktober 2034, menekankan komitmen jangka panjang KJTSSB untuk mengekalkan piawaian operasi optimum bagi Menara Takaful Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

KJTS
Sheldon Wee

 

Pengarah Esekutif KJTS, Sheldon Wee berkata, kontrak itu menekankan kecekapan mereka dalam menyampaikan perkhidmatan sokongan bangunan.

 

"Kami percaya bahawa kerjasama itu adalah contoh bagaimana kontrak pengurusan tenaga penyejuk boleh diperoleh tanpa memerlukan perbelanjaan modal daripada kumpulan," katanya. 

 

Kumpulan itu berharap perkongsian dengan Syarikat Takaful Malaysia bagi kerja-kerja penggantian sistem penyejuk dan perkhidmatan O&M akan terus menyumbang kepada kecekapan dan kemampanan infrastruktur bangunan di Malaysia. - DagangNews.com