KKB raih kontrak MMHE, Lembaga Air Kuching bernilai RM23.7 juta | DagangNews Skip to main content

KKB raih kontrak MMHE, Lembaga Air Kuching bernilai RM23.7 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - KKB Engineering Berhad (KKB) mengumumkan kejayaan meraih dua kontrak daripada Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) dan Lembaga Air Kuching bernilai RM23.7 juta.

 

Syarikat kejuruteraan itu berkata, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya OceanMight Sdn. Bhd. menerima kontrak daripada MMHE untuk kerja-kerja fabrikasi, penyeliaan, tenaga kerja dan peralatan/alatan.

 

Kumpulan itu juga perlu menjalankan kerja-kerja fabrikasi cerucuk, pemuatan untuk blok SK408W di medan minyak Jerun yang terletak di luar pesisir pantai Sarawak.

 

"KKB juga menerima surat lantikan (LOA) daripada Lembaga Air Kuching untuk kerja-kerja pengalihan saluran pam sedia ada di Sungai Maong Paroh, Jalan Matang/Batu Kawa, Kuching," katanya menerusi pemakluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak untuk kerja-kerja MMHE bermula pada Februari 2022 dan akan berakhir pada Februari 2023 sementara pelaksanaan kerja-kerja Lembaga Air Kuching adalah selama 12 bulan.

 

Antara faktor yang mempengaruhi kontrak berkenaan termasuk risiko penularan COVID-19, ketersediaan tenaga kerja mahir, perubahan cuaca atau keaaan politik semasa, keadaan ekonomi dan perubahan harga barangan.

 

"Kedua-dua kontrak itu tidak memberi kesan terhadap pegangan saham KKB tetapi dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan bersih kumpulan sepanjang tempoh kerja-kerja itu," katanya. - DagangNews.com