KL ATCC beroperasi tepat pada waktunya selaras usaha kerajaan pulihkan ekonomi - PM | DagangNews Skip to main content

KL ATCC beroperasi tepat pada waktunya selaras usaha kerajaan pulihkan ekonomi - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasian Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah tepat pada waktunya selaras dengan usaha kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara.

 

Beliau berkata, pembukaan sempadan negara selepas ini akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam, secara langsung memberi kesan positif dengan hasil limpahan kepada ekonomi negara.

 

"Melalui penyediaan sistem dan peralatan kawalan trafik udara yang baharu dan lebih efisien, ia secara langsung akan mampu mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara Malaysia setanding dengan negara maju di dunia.

 

"Selain itu, pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang terhasil daripada Projek KL ATCC tentu akan memberikan impak positif kepada sektor ekonomi negara, terutama dalam sektor penerbangan awam," katanya ketika berucap merasmikan KL ATCC, hari ini.

 

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo.

 

Ismail Sabri berkata, walaupun industri penerbangan awam telah mengalami kemerosotan ketara akibat COVID-19 sehingga menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa trend peningkatan sektor itu dijangka pulih menjelang 2025.

 

Seterusnya, beliau berkata, bangunan KL ATCC yang terletak bersebelahan KLIA bukan saja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung, malah turut menempatkan Pusat Mencari Dan Menyelamat Negara serta Pusat Koordinasi Pengurusan Ruang Udara Bersama (JAMCC).

 

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kejayaan pembangunan projek KL ATCC baharu itu adalah sebahagian daripada pencapaian Keluarga Malaysia yang amat membanggakan dan tentunya ia akan menjadi aset yang penting untuk negara dalam menyokong kemajuan serta pembangunan pelbagai industri lain.

 

"Kejayaan ini juga dilihat telah membolehkan perkhidmatan kawalan trafik udara negara untuk kekal dikawal  sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dalam persekitaran kerja yang kondusif. 

 

"Keadaan ini juga telah membuktikan bahawa kepakaran dan kemahiran rakyat tempatan adalah setanding dengan kepakaran dan kemahiran asing, malah mungkin dalam sesetengah aspek adalah jauh lebih baik," katanya. - DagangNews.com