KLCI berakhir lebih rendah, saham Heineken, Nestle, Genetec paling rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI berakhir lebih rendah, saham Heineken, Nestle, Genetec paling rugi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Pasaran saham tempatan mengakhiri minggu ini dengan 4.18 mata lebih rendah kepada 1,523.44 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,527.62.

 

Kemerosotan indeks utama, FBM KLCI itu diheret turun oleh sektor pengangkutan, produk pengguna, perkhidmatan kewangan dan amanah pelaburan hartanah (REIT). 

 

Saham Heineken Malaysia Berhad menyaksikan kerugian tertinggi apabila menyusut 62 sen kepada RM22.38.

 

Ini diikuti oleh syarikat makanan dan minuman (F&B), Nestle (Malaysia) Berhad yang berakhir 60 sen atau 0.45% lebih rendah kepada RM133.30.

 

Sejak bulan lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rancak berurus niaga dalam saham Nestle sehingga semalam, 22 Julai 2021. 

 

Turut merosot pada dagangan petang ini, Genetec Technology Berhad menyusut 56 sen kepada RM18.16. 

 

Ketika dagangan dibuka pada pagi ini, Genetec mendahului kaunter paling rugi selepas mencatatkan lonjakan harga saham terbesar pada penutupan dagangan semalam. 

 

Turut merasai impak negatif tersebut adalah saham Kumpulan H & L High-tech Berhad, British American Tobacco (Malaysia) Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad dan Cheetah Holdings Berhad.

 

Beralih kepada kaunter untung, saham Vitrox Corporation Berhad mencatatkan lonjakan harga saham tertinggi sebanyak RM1.84 kepada RM19.42 selepas mengumumkan prestasi kewangan yang memberangsangkan pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21). 

 

Ini diikuti oleh saham Malaysian Pacific Industries Berhad dan Unisem (M) Berhad, masing-masing melonjak 50 sen kepada RM42.50 dan 40 sen kepada RM8.15.

 

Saham Rapid Synergy Berhad masih mengekalkan kedudukan positif dalam kaunter untung dengan lonjakan harga saham sebanyak 33 sen kepada RM8.23.

 

Sementara itu, saham Pasukhas Group Berhad, KYM Holdings Berhad, Globaltec Formation Berhad, Kanger International Berhad dan Serba Dinamik Holdings Berhad paling rancak diniagakan.

 

Walaupun FBM KLCI berakhir lebih rendah, namun jumlah kaunter untung iaitu sebanyak 559 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 443. - DagangNews.com