KLCI dibuka tinggi sedikit | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka tinggi sedikit

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Momentum perdagangan di pasaran Bursa Malaysia yang melepasi paras rintangan 1,600 tidak bertahan lama pada hari urus niaga terakhir minggu ini. 

 

Penanda aras pasaran ekuiti di Bursa Malaysia, FBM KLCI hanya mampu menokok 4.34 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,575.84 kepada 1,580.18. 

 

Antara kaunter untung awal pagi ini adalah Nestle (Malaysia) Berhad, Greatec Technology Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, MR DIY Group (M) Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Telekom Malaysia Berhad (TM), dan Petronas Gas Berhad.

 

Rakuten Trade Research berkata, bursa tempatan meneruskan penurunannya sekali lagi ekoran penjualan lewat yang didorong oleh kemerosotan pasaran serantau. 

 

“Sentimen kekal kabur memandangkan tiada pemangkin yang jelas, oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam julat 1,575/80 hari ini. 

 

“Bagaimanapun, kami mendapati minat terhadap saham dengan permodalan yang lebih kecil kekal kukuh memandangkan pelabur runcit terus mendominasi aktiviti perdagangan,” jelas firma itu dalam nota kajiannya.

 

Di peringkat global, Wall Street merudum susulan data pekerjaan yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Dalam pada itu, para pelabur mengambil keuntungan ekoran daripada prestasi yang memecah rekod tertinggi sebelum ini. 

 

Namun, jelas Rakuten Trade, ketiga-tiga indeks utama ditutup pada paras rendah didorong oleh berita pakej rangsangan. - DagangNews.com