Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pasaran saham Malaysia melonjak hari ini didorong peningkatan saham-saham dalam sektor sarung tangan.
Setakat 9.04 pagi, KLCI dibuka tinggi mencecah 1,495.17 iaitu meningkat 0.19% atau 2.77 mata.
Antara kaunter peraih teratas adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, Kossan Rubber Industries Bhd, United Plantations Berhad, Hartalega Holdings Berhad, Supermax Corp Berhad, Scientex Berhad, Top Glove Corp Berhad, Comfort Gloves Berhad dan Rubberex Corp Berhad.
Rakuten Trade Research menjangkakan pemburuan tawar-menawar dalam kalangan pelabur dapat membawa KLCI kembali ke tahap 1,500.
“Oleh itu, kami menggalakkan pelabur untuk membeli saham yang merosot dan memegangnya serta menumpukan saham penjagaan kesihatan, sarung tangan, pelitup muka serta saham modal sederhana,” kata nota kajian pasaran Rakuten Trade.
Sementara itu, pasaran saham Asia dijangka didagangkan dengan lebih berhati-hati ekoran niaga hadapan Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah.
Menurut Reuters, pelabur di pasaran Asia bersedia dengan dagangan yang tidak menentu di Wall Street akibat bimbang terhadap persetujuan rang undang-undang rangsangan AS yang dijangka tidak mampu dicapai sebelum pilihan raya pada 3 November depan.
Pada awal dagangan, saham Australia dibuka rendah, manakala MSCI merosot 0.06%. - DagangNews.com