Knight Frank: Asia Pasifik kekal berkembang pesat meskipun berdepan cabaran | DagangNews Skip to main content

Knight Frank: Asia Pasifik kekal berkembang pesat meskipun berdepan cabaran

KUALA LUMPUR 19 Dis - Rantau Asia Pasifik bersedia untuk kekal sebagai rantau paling pesat berkembang di dunia meskipun mengalami tekanan berterusan yang diburukkan lagi oleh konflik Rusia-Ukraine dan kewangan global yang tidak menentu, menurut Laporan Unjuran Asia Pasifik 2023: Mengutamakan Peluang oleh Knight Frank.

 

Laporan terkini itu menjelaskan, meskipun momentum pertumbuhan kembali pulih di kebanyakan rantau, negara berorientasikan domestik seperti Asia Tenggara dan India yang sedang pesat membangun dijangka kekal menyokong seluruh pertumbuhan serantau pada tahun akan datang.

 

Ketua Penyelidikan bagi Asia Pasifik Christine Li berkata, walaupun kebanyakan risiko dijangka melampaui situasi negatif semasa, peluang kepada aliran peningkatan masih ada, disokong oleh strategi sifar COVID-19 yang dilonggarkan serta kadar faedah terminal yang lebih rendah daripada dijangka.

 

Ketika ini, pihak berkuasa China mengurangkan tempoh kuarantin kepada pengembara dalam negara.

 

“Kita boleh bersikap optimis berikutan isyarat terhadap kemuncak inflasi mula kelihatan dalam pemantauan data oleh Rizab Persekutuan.

 

“Walaupun tidak dapat dipastikan sama ada situasi ini akan kekal, ketidaktentuan makroekonomi dan dasar semasa ini apabila semakin reda, akan mengecilkan jurang bida-tawar dan membuka peluang kepada aktiviti pelaburan lebih tinggi,” katanya, lapor Bernama hari ini.

 

Laporan itu meramalkan, di peringkat sektor, keadaan pasaran pada 2023 akan terus memanfaatkan penyewa berikutan bangunan pejabat bertingkat tinggi yang mempunyai kemudahan serta kredit mampan sedang disiapkan dan bersedia untuk didiami.

 

Sewaan dalam sektor logistik diramalkan meningkat sebanyak 5.5% manakala sewaan pejabat akan menokok dua peratus di seluruh rantau ini.

 

Secara keseluruhannya, hartanah menawarkan manfaat yang pelbagai dengan korelasi rendah terhadap ekuiti dan bon.

 

Pengarah Urusan kumpulan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam berkata, cabaran ekonomi global akan memberikan kesan terhadap pasaran Malaysia.

 

“Bagaimanapun, kami masih berharap supaya kerajaan perpaduan yang baru dipilih ini berupaya untuk menggariskan dasar yang jelas dan konsisten dalam memacu pelaburan ekonomi ke negara kita serta menggalakkan semua langkah langsung untuk merancakkan dan mengekalkan pertumbuhan sektor hartanah.

 

“Malaysia perlu mengembalikan kepercayaan pelabur dalam pertumbuhan ekonomi negara untuk menyaksikan pemulihan di semua sektor,” katanya.

 

Syarikat perunding hartanah global itu turut berharap agar kerajaan memperkenalkan insentif hijau kepada pembeli hartanah, tuan tanah dan pemaju, seiring dengan sasaran negara sebagai negara sifar bersih menjelang 2050.

 

Menurutnya, ia turut mengalakkan pelanjutan insentif sedia ada dengan memberikan pelepasan cukai atau geran kepada peserta industri yang menyertakan ciri-ciri hijau dalam pembangunan, terutamanya tenaga boleh baharu seperti panel solar dan penuaian air serta hartanah yang dibina secara mampan daripada kayu dan simen rendah karbon. - DagangNews.com