PROSES modenisasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan berjalan sepertimana dirancang berikutan komitmen kerajaan untuk meneruskan perkara-perkara yang telah dimuktamadkan.
Ini merupakan isyarat positif yang mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh lima tahun lalu dilihat bergelut dengan pihak pembuat keputusan untuk memenuhi tuntutan kelengkapan.
Sekiranya aset-aset yang telah dirancang ini dimiliki, maka TUDM dilihat menjadi cabang pertahanan negara yang berjaya merealisasikan proses modenisasi.
TUDM seperti diumumkan sebelum ini dalam proses pembelian aset seperti pesawat peronda maritim (MPA), sistem pesawat udara tanpa pemandu (UAS) dan radar pertahanan udara.
Perolehan terbesar pula ialah 18 pesawat tempur ringan dwifungsi (FLIT-LCA).
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu bahawa proses perolehan aset baharu pasukannya tidak akan tertangguh di bawah kerajaan baharu.
Menurut beliau, pihaknya telah menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) bagi pesawat MPA dan UAS pada 25 Oktober lepas dan kini dalam proses rundingan harga serta tindakan selanjutnya.
Perolehan pesawat FLIT-LCA pula sudah berada pada Kementerian Kewangan dan TUDM kini sedang menunggu keputusan.
Ini bermakna proses untuk mendapatkan kesemua aset-aset yang diinginkan telah berada pada fasa akhir.
Firma Turkish Aerospace Industries (TAI) dari Turkiye sebelum ini memenangi kontrak bagi perolehan tiga buah UAS kategori Medium Altitude Long Endurance (MALE) Anka-S.
Turkiye merupakan negara pengeksport utama aset UAS dan dron berikutan peralatan buatan negara itu telah digunakan secara meluas dan berkesan dalam konflik di Ukraine.
Pengoperasian UAS ini juga dapat melonjakkan keupayaan TUDM kerana ia merupakan aset baharu yang belum pernah lagi digunakan.
Aset ini sangat penting untuk TUDM dalam melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) di kawasan yang diperluaskan.
Dalam Kertas Putih Pertahanan, kawasan diperluaskan iaitu di luar kawasan perairan negara sehingga Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) memerlukan pengawasan ketat dengan kegunaan pesawat atau dron UAS.
Difahamkan ketika ini pasukan TUDM telah berada di Turkiye untuk melihat pengurusan aspek kontrak dan pesawat berkenaan.
MALE UAS Anka-S boleh terbang selama 24 jam pada ketinggian 9,000 meter dan dilengkapi dengan pelbagai sensor bagi tujuan pemantauan.
Ia juga boleh membawa pelbagai sistem persenjataan seperti bom pintar, roket dan peluru berpandu antikereta kebal.
Malaysia menunjukkan minat pada MALE UAS Anka-S semasa dipertontonkan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.
Sejak 2018, firma TAI telah memeterai kerjasama dengan DRB-HICOM Defense Technologies (DEFTECH) bagi jualan dan sokongan untuk memasarkan Anka-S kepada ATM.
Bagi MPA pula, dua buah pesawat buatan firma Leonardo dari Itali menjadi pilihan.
Pesawat dua kipas ATR 72 MP dipilih berdasarkan ciri-ciri yang ada selain kos operasi yang rendah.
Selain rondaan, ATR 72 MP boleh melaksanakan misi antikapal selam, peperangan antipermukaan serta perisikan elektronik.
Pesawat ini berperanan melakukan rondaan di laluan perairan negara khususnya yang mempunyai kepentingan ekonomi selain keselamatan termasuk di ZEE.
Ia juga boleh bertindak sebagai pesawat kawalan semasa melakukan misi pencarian dan menyelamat di laut (SAR) selain melaksanakan operasi antikapal selam.
Ini kerana ATR 72 MP boleh dilengkapkan dengan dua buah torpedo.
Pesawat MPA juga telah lama berada dalam senarai aset yang wajib dimiliki ATM sejak 20 tahun lalu tetapi seringkali tertangguh atas sebab kekangan kewangan.
Justeru, sebolehnya janganlah perolehan yang kritikal ini tertangguh lagi walaupun kebarangkalian tersebut tidak mustahil.
Pada Julai 2004 misalnya, negara telah bersetuju untuk memperoleh sistem peluru berpandu darat ke udara jarak sederhana (SAM) jenis KS-1A buatan China.
Termasuk dalam pakej perolehan ini ialah penerimaan sejumlah sistem pelancar peluru berpandu (manpad) jenis FN-6 yang dipasang sepenuhnya di Malaysia.
Kerjasama tersebut melibatkan pihak China National Precision Machinery Import and Export Corp (CNPMIEC) bersama dua syarikat tempatan.
Perolehan sistem SAM ketika itu adalah sebahagian daripada plan modeniasi ATM di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan bermula 2006 - 2009.
Fasa persetujuan ini telah dimeterai apabila Surat Niat (LOI) ditandatangani antara kerajaan dengan syarikat tempatan selaku agen diikuti lawatan ke China.
Perolehan malangnya tidak diteruskan dan sejak tempoh tersebut, rancangan untuk memiliki aset SAM sebagai payung perlindungan ruang angkasa negara masih tergantung.
Pada 1999, pembelian helikopter tempur CSH-2 Rooivalk juga disebut-sebut berikutan ATM dilihat bersungguh-sungguh untuk memiliki aset berkenaan bagi memperkasakan keupayaan dalam pertempuran konvensional.
Sekurang-kurangnya lapan helikopter Rooivalk dibeli yang juga bakal menjadi eksport pertama pesawat ini ke pasaran luar.
Denel Aviation, syarikat pengeluar senjata dan pesawat terbang milik kerajaan Afrika Selatan juga menyuarakan keyakinan tersebut berikutan Malaysia sedang pulih daripada kegawatan ekonomi.
Penyertaan Rooivalk pada beberapa edisi pameran LIMA sejak 1997 juga memperkuatkan lagi ramalan tersebut selain hubungan baik Malaysia - Afrika Selatan.
Bagaimana pun, jangkaan untuk melihat helikopter tempur menjadi aset ATM tidak kesampaian apabila ia tidak dimeterai dan sehingga kini kelompongan tersebut belum diisi.
Penangguhan demi penangguhan untuk melengkapkan ATM dengan perolehan sewajarnya sepertimana pada masa lalu sepatutnya tidaklah berlaku.
Bakal memasuki tahun 2023, fasa modeniasi ATM perlu dilakukan secara konsisten walaupun perolehan dibuat secara kecil-kecilan mengikut kemampuan kewangan negara.
Perlu diingat, mempunyai kelengkapan pertahanan yang baik juga merupakan satu pelaburan kepada negara melalui keselamatan dan seterusnya meyakinkan pelaburan luar hadir ke sini. - DagangNews.com