Kontrak baharu daripada Hibiscus Oil and Gas Malaysia, Uzma diunjur raih margin untung bersih antara 7% hingga 8% - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu daripada Hibiscus Oil and Gas Malaysia, Uzma diunjur raih margin untung bersih antara 7% hingga 8% - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Kenanga Research menjangkakan kontrak baharu yang diraih daripada Hibiscus Oil and Gas Malaysia Ltd. akan menyumbang antara 7% hingga 8% kepada margin untung bersih Uzma Berhad, selaras dengan prestasi keseluruhan perniagaan kumpulan.

 

Katanya, kumpulan itu sebelum ini menerima kontrak selama lima tahun bagi membekalkan bahan kimia dan perkhidmatan berkaitan ke luar pesisir PM3.

 

"Ini sejajar dengan andaian kami bahawa Uzma akan memperoleh tempahan projek baharu bernilai RM1 bilion untuk perkhidmatan huluannya pada FY24.

 

"Kumpulan itu mempunyai keupayaan bagi melaksanakan projek itu memandangkan kejayaan mereka dalam menyempurnakan projek sedia ada," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Uzma raih kontrak bekal bahan kimia kepada Hibiscus Oil and Gas Malaysia

 

Terdahulu, kontrak yang bermula 16 November 2023 hingga 15 November 2028 itu menyaksikan mereka akan menyediakan bekalan pengeluaran bersepadu dan suntikan air bahan kimia serta perkhidmatan yang berkaitan. 

 

Nilai kontrak tersebut adalah berdasarkan kepada tempahan kerja yang dikeluarkan sepanjang tempoh yang disebutkan.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Uzma selepas ia menjadi penerima manfaat daripada kitaran menaik dalam aktiviti huluan yang membawa kepada peningkatan aliran kontrak selain perniagaannya yang mampan menerusi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) meningkatkan daya tarikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan.

 

Katanya, pendapatan kumpulan itu juga adalah mapan dan pelancaran loji solar berskala besar 50MW dijangka meningkatkan pendapatan berulang yang stabil. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.22 sesaham," katanya. - DagangNews.com