Kontrak baharu lonjak jumlah buku pesanan tertunggak Pekat kepada RM322 juta, kata Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Kontrak baharu lonjak jumlah buku pesanan tertunggak Pekat kepada RM322 juta, kata Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kemenangan kontrak baharu Pekat Group Bhd bagi membina dan mentauliahkan loji solar fotovoltaik 29.99 megawatt AC (MWac) di Perak melonjakkan jumlah buku pesanan kumpulan tertunggak kumpulan itu kepada RM322 juta, bersamaan 1.5x hasil FY23. 

 

Apex Securities menjangkakan, kira-kira satu pertiga daripada nilai projek akan diiktiraf pada FY24, dengan pengiktirafan tertinggi berlaku pada FY25 apabila kerja mencapai kemuncaknya.

 

"Kami menjangkakan kontrak ini akan menyediakan margin yang lebih baik daripada purata industri, berdasarkan prestasi sejarah kontrak yang diperoleh kumpulan itu.

 

"Dengan andaian margin 8%, projek itu dianggarkan menjana RM9.2 juta dalam perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sepanjang kitaran projek itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pekat peroleh kontrak RM115 juta bina loji solar di bawah CGPP

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi Pekat Solar Sdn Bhd memperoleh kontrak RM115 juta daripada MF Solar Tronoh Sdn Bhd bagi membina dan mentauliahkan loji solar fotovoltaik di Kinta, Perak.

 

Loji itu adalah sebahagian daripada Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang membolehkan pengguna korporat membeli tenaga solar secara maya daripada pemaju solar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tiada perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan kerana kemenangan kontrak termasuk dalam andaian penambahan buku pesanan FY24 sebanyak RM315 juta.

 

"Kami menyukai Pekat kerana sinergi pelengkap produknya, pembiayaan solar dalaman yang menarik, margin kukuh dalam segmen EPE yang bersedia untuk pertumbuhan pendapatan yang teguh.

 

"Pekat berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada aliran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) jangka panjang, yang berpotensi menjana keterlihatan pendapatan yang kukuh pada masa hadapan," katanya.

 

Apex Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham. - DagangNews.com