Kontrak eksport memberangsangkan, penarafan saham MSM dinaik taraf kepada ‘tambah’ | DagangNews Skip to main content

Kontrak eksport memberangsangkan, penarafan saham MSM dinaik taraf kepada ‘tambah’

Sumber gambar Bloomberg

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Perolehan dan prospek eksport salah satu syarikat pengeluar gula pasir terbesar di Malaysia, MSM Malaysia Holdings Berhad telah mendorong firma penyelidikan, CGS-CIMB Research untuk menaik taraf saranan sahamnya kepada ‘tambah’ daripada ‘pegang’ sebelum ini. 

 

Serentak itu, harga sasaran (TP) saham MSM turut ditingkatkan kepada RM1.69 daripada RM1.41 dengan unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 dinaikkan sebanyak 1.5% hingga 6.9%, yang mencerminkan kos penyulingan lebih rendah serta premium eksport lebih tinggi.

 

MSM mendedahkan bahawa kumpulan telah meraih jaminan kontrak eksport antara 65% hingga 70% daripada sasaran jualan eksport awalnya iaitu 300,000 setiap metrik tan (mt) bagi FY21. 

 

Sehubungan itu, kumpulan kini optimis untuk mencapai 350,000 mt jualan eksport bagi tahun kewangan semasa, sejajar unjuran 340,000 mt yang diletakkan oleh CGS-CIMB di mana bakal menyaksikan peningkatan 25% daripada tahun kewangan lalu.

 

“Kami positif terhadap MSM susulan kemas kini terbaharu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ab Aziz Ismail. 

 

“Pertama, MSM telah melindung nilai 99% daripada keperluan gula mentah borong domestik FY21 pada kadar AS$0.13 hingga AS$0.14 setiap paun dan 43% daripada keperluan FY22 pada kadar AS$0.15 hingga AS$0.16 setiap paun (purata harga gula mentah 2020 pada kadar AS$0.13 hingga AS$0.14 setiap paun).

 

“Ini baik untuk MSM memandangkan harga gula mentah menyaksikan trend lebih tinggi dalam tempoh 18 bulan lalu kepada AS$0.185 setiap paun ketika ini, kerana terdapat gangguan bekalan di Brazil dan Thailand. 

 

“Kedua, kumpulan menjangkakan 10% pertumbuhan daripada tahun lalu dalam jumlah jualan domestik pada FY21 dan telah meningkatkan purata harga jualan (ASP) untuk kedua-dua segmen borong (maksimum harga siling RM2.69/kg) dan industri. Kami menjangkakan ASP dan jumlah jualan yang lebih tinggi akan melonjakkan margin penyulingan domestik MSM pada separuh kedua 2021 (2H21),” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian.

 

Jumlah eksport kumpulan dijangka dipacu oleh permintaan lebih kukuh dari Vietnam yang menyumbang kira-kira 50% daripada eksportnya dan negara lain yang telah melonggarkan sekatan pergerakan akibat COVID-19. 

 

CGS-CIMB mengunjurkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) MSM akan berada pada kadar 10.9% hingga 12.4% untuk FY21 hingga FY23, dipacu oleh margin eksport dan domestik yang lebih tinggi serta jumlah eksport lebih kukuh.

 

Pada tahun kewangan yang lalu, permintaan domestik kumpulan merosot 13% tahun ke tahun kerana pelaksanaan pelbagai sekatan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19.

 

Bagi tahun kewangan semasa, kumpulan percaya permintaan tempatan akan kembali pulih dan menyasarkan untuk meraih 825,000 mt jualan untuk bahagian domestik di mana merangkumi segmen borong dan perindustrian.

 

“MSM mendedahkan bahawa kumpulan mahu menyeimbangkan semula portfolio agihan antara kilang di Johor dan Prai, di mana Johor akan memenuhi permintaan di kawasan selatan dan timur Malaysia, sementara kilang Prai akan memenuhi permintaan di kawasan utara Malaysia. 

 

“Ini berpotensi menjimatkan kos dari segi logistik, seterusnya membantu meningkatkan lagi margin keuntungan MSM,” tambah CGS-CIMB.

 

Bagaimanapun, bagi FY22, CGS-CIMB bimbang kerana MSM belum lagi meraih 57% keperluan gula mentah borong ekoran harganya yang tinggi. 

 

Jelas firma itu, sekiranya harga gula mentah menyaksikan trend lebih tinggi memasuki FY22, MSM berdepan tekanan margin di segmen borong kumpulan kerana kawalan harga yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. 

 

MSM mendedahkan bahawa kumpulan akan berhubung dengan kementerian berkaitan untuk meningkatkan harga siling gula yang ditetapkan oleh kerajaan, ujar firma itu lagi. - DagangNews.com