Kontrak pengurangan air bukan hasil bernilai RM283.9 juta diunjur terus tingkatkan margin keuntungan Ranhill - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Kontrak pengurangan air bukan hasil bernilai RM283.9 juta diunjur terus tingkatkan margin keuntungan Ranhill - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - TA Securities mengunjurkan kontrak pengurangan air bukan hasil (NRW) yang diraih di Johor bernilai RM283.9 juta akan meningkatkan margin keuntungan Ranhill SAJ.

 

Katanya, ia merupakan projek NRW ketujuh berturut-turut di Johor yang diperoleh Ranhill Utilities Berhad melalui tender terbuka sejak 2011. 

 

Projek itu akan berlangsung selama 36 bulan bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

 

"Kami tidak terkejut dengan kemenangan kontrak kerana kumpulan itu telah menyediakan perkhidmatan pengurangan NRW sejak 2011.

 

"Memandangkan projek itu adalah sebahagian daripada perbelanjaan operasi biasa Ranhill SAJ, kami melihat kemenangan kontrak secara positif kerana ini akan meningkatkan margin Ranhill SAJ," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ranhill raih kontrak pengurangan air bukan hasil bernilai RM283.9 juta di Johor

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya mengurangkan NRW di Johor daripada lebih 37% pada 2005 kepada 25.1% pada 30 November 2023.

 

Antara skop kerja bagi kontrak itu merangkumi penubuhan kawasan meter daerah (DMA) baharu dan penubuhan semula DMA sedia ada selain rumusan serta penyelenggaraan meter NRW dan pencatat data.

 

Ia juga memerlukan kumpulan itu untuk menguruskan tekanan air, pemantauan dan penyelenggaraan takungan selain pemasangan meter, injap dan PRV.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sekiranya Ranhill SAJ dapat mengekalkan paras NRW di bawah 25.5%, mereka layak mendapat geran sepadan sebanyak 50% daripada kos yang ditanggung untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan, yang akan diiktiraf pada FY24.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 96 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com