KUALA LUMPUR 24 Julai - Dengan penglibatan kira-kira 106 buah kenderaan tempur dan sistem persenjataan pelbagai jenis, Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2023 yang diadakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan bukan satu latihan biasa.
LKT yang diadakan setiap tahun sebelumnya dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT). Latihan tahun ini bermula sejak 8 hingga 18 Julai telah melibatkan penyertaan seramai 2,660 pegawai dan anggota.
Antara aset yang terlibat ialah kereta kebal PT-91M Pendekar, kenderaan perisai tempur AV8 Gempita, Lipan Bara, Adnan, Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), meriam LG1 MK III Nexter 105mm dan G5 155mm.
Aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar daripada peringkat seksyen, platun hingga batalion.
Turut digunakan pesawat helikopter Super Lynx, AS555 Fennec serta MD530G dan Agusta AW109 bagi memberi tembakan bantuan dari udara semasa LKT berlangsung.
Melalui latihan ini juga jelas menggambarkan anggota tentera mampu mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan yang sofistikated dan terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan.
Selain itu, ia turut mempamerkan kemampuan dan persediaan secara fizikal, mental dan intelektual untuk diatur gerakkan pada bila-bila masa sahaja mereka diperlukan.
Latihan ini sebahagian daripada keperluan pengajian Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).
Ia berkaitan keupayaan pengendalian dan kuasa tembakan senjata serta kenderaan tempur Tentera Darat.
MTAT merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan pengajian profesional pada peringkat Diploma Lepasan Ijazah kepada pegawai-pegawai berpangkat Mejar atau setaraf daripada ketiga-tiga perkhidmatan.
Pengajian siswa KPSM ini melayakkan mereka menerima Diploma Pascasiswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan dengan kerjasama antara MTAT dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Pada tahun ini, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk bercemar duli bagi menyaksikan LKT.
Kehadiran Al-Sultan Abdullah juga adalah sebagai pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Latihan kali ini mempamerkan keupayaan sesebuah pasukan tempur dalam ketumbukan angkatan gabungan melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik.
Ia merangkumi senjata bantuan infantri, mekanize, armor, artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dan pesawat udara tentera laut serta tentera udara.
Selain itu, latihan ini juga turut menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan memperagakan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.
LKT merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik MINDEF serta Kertas Putih Pertahanan.
Objektifnya demi memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.
Walaupun kos mengadakan latihan atau demonstrasi ketenteraan berskala besar ini mencecah puluhan juta ringgit, ia tidak pernah dianggap sebagai pembaziran.
Berdasarkan latihan lalu, kos untuk menganjurkan LKT mencecah antara RM20 hingga RM23 juta.
Kewujudan Kem Syed Sirajuddin atau Kem Gemas yang dirasmikan pada tahun 2006 itu juga adalah sebahagian daripada rancangan MINDEF membangunkan sebuah kawasan latihan moden dan berskala besar.
Pembangunan kem dengan kos RM2.8 bilion itu termasuk menempatkan beberapa pusat latihan serta pengambilan lapang sasar senjata bantuan Asahan.
Perbelanjaan ketenteraan kebanyakan negara termasuk Malaysia biasanya besar kerana semua aset termasuk teknologi, senjata, peluru, misil dan bom membabitkan kos yang mahal.
Tidak dinafikan, bagi sesetengah pihak di luar bidang pertahanan menganggap kos puluhan juta ringgit yang dibelanjakan untuk kos demonstrasi tersebut sebagai membazir.
Sebenarnya, inilah kos yang perlu dibayar oleh negara untuk memastikan setiap aset diuji manakala anggota tentera pula dapat menajamkan kemahiran mereka dalam pertempuran.
Sekiranya LKT tidak diadakan, kos sama juga diperlukan untuk latihan dan ujian persenjataan di lapangan lain.
Secara keseluruhan, latihan ini secara tidak langsung telah mempamerkan kredibiliti ATM dalam menggalas tugas utama iaitu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. - DagangNews.com