Kos kandungan akan terus meningkat dan jejaskan margin keuntungan Astro, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kos kandungan akan terus meningkat dan jejaskan margin keuntungan Astro, kata Maybank IB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan hasil langganan TV Astro Malaysia Holdings Berhad akan berkurangan manakala kos kandungan akan meningkat yang bakal memberi kesan kepada penyusutan margin.

 

Firma itu berkata, keputusan 3QFY23 gagal mencapai jangkaan mereka. 

 

"Kami menjangkakan, 4QFY23 akan mencatatkan pulangan modal kerana kos kandungan Piala Dunia yang tinggi.

 

"Walaupun kami menjangkakan pendapatan selepas 4QFY23,  penurunan hasil daripada langganan TV dan peningkatan kos kandungan akan memberi kesan kepada margin keuntungan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu menjana untung bersihbagi 3QFY23 hanya RM6 juta disebabkan kerugian bersih tukaran mata wang belum direalisasi sebanyak RM67 juta.

 

Keuntungan bersih teras 3QFY23 sebanyak RM73 juta menjadikan keuntungan bersih teras sembilan bulannya kepada hanya RM295 juta.

 

“Prestasi yang kurang baik itu disebabkan kos kandungan selama sembilan bulan 9MFY23 sebanyak RM819 juta atau 85% daripada unjuran setahun penuh kami.

 

"Kami unjurkan kos kandungan Piala Dunia sebanyak RM200 juta pada 4QFY23," katanya.

 

Firma itu berkata, kos kandungan dari FY24 dan seterusnya adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini disebabkan oleh ringgit yang lebih lemah.

 

"Walaupun pendapatan suku tahunan sepatutnya pulih selepas 4QFY23 tetapi kami menjangkakan margin keuntungan akan terkesan akibat penurunan hasil langgan TV dan kelemahan ringgit di pasaran global.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 74 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com