Kos kewangan lebih tinggi, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan CapitaLand bagi FY24 sebanyak 5% | DagangNews Skip to main content

Kos kewangan lebih tinggi, Maybank IB semak turun unjuran pendapatan CapitaLand bagi FY24 sebanyak 5%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) bagi FY24 sebanyak 5% selepas melaraskan keputusan tahun penuh FY23 dan andaian kos kewangan yang lebih tinggi.

 

Katanya, pihaknya juga melancarkan penilaian model diskaun dividen (DDM) kepada tahun asas FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan bagi suku keempat 2023 adalah sejajar dengan pertumbuhan dari tahun ke tahun disokong oleh aset baharu, pengembalian sewa yang positif di seluruh pusat beli-belah utama dan kadar penghunian runcit yang lebih tinggi.

 

Katanya, tidak termasuk keuntungan penilaian semula sebanyak RM63.1 juta, untung bersih teras suku keempat adalah sebanyak RM30.7 juta menjadikan untung bersih teras FY23 kepada RM106.5 juta iaitu melebihi anggaran dan konsensus.

 

"Pertumbuhan keuntungan suku keempat itu disokong oleh sumbangan tambahan daripada Queensbay Mall, pengembalian sewa positif sebanyak 7.5% dan peningkatan kadar penghunian runcit kepada 91.7% berbanding 84.3% pada suku sama tahun sebelumnya.

 

"Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh kos kewangan yang lebih tinggi terutamanya daripada pinjaman yang lebih tinggi untuk membiayai sebahagian daripada pemerolehan Queensbay Mall dan operasi hartanah yang lebih tinggi, surcaj elektrik serta perbelanjaan pemasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, CLMT mengakhiri FY23 dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) melonjak 42.55% kepada RM217.41 juta berbanding RM152.51 pada FY22 berikutan peningkatan hasil  kasar daripada aset runcit sedia ada.

 

Selain sumbangan daripada Queensbay Mall berikutan penyempurnaan pemerolehan pusat beli-belah Pulau Pinang tahun lepas.

 

Hasil kasar bagi FY23 meningkat 43.35% kepada RM395.39 juta, daripada RM275.82 juta sebelumnya, disebabkan penghunian yang lebih tinggi dan pengembalian sewa yang positif.

 

Maybank IB menjangkakan pertumbuhan pendapatan hadapan disokong oleh pengembalian sewa positif dan kadar penghuniaan yang stabil di Plaza Gurney, Queensbay Mall dan East Coast Mall. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 59 sen berbanding 56 sen sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com