KUALA LUMPUR 6 April - AmInvestment Bank Research menyemak turun unjuran pendapatan FY23 Hartalega Holdings Berhad sebanyak 82% kesan daripada kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, terutamanya harga gas asli dan tarif elektrik.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY24-FY25 buat masa sekarang dan akan terus memantuan dengan teliti pengisian semula inventori pelanggan akhir dan pergerakan harga purata jualan (ASP).
Katanya, kadar penggunaan loji meningkat daripada 42% pada 3QFY23 kepada 50% pada Januari-Februari 2023.
Penambahbaikan loji itu adalah konsisten dengan peningkatan 6% daripada Top Glove Corporation (Top Glove) dalam jumlah jualan bagi 2QFY23.
"Penggunaan loji yang dipertingkatkan untuk industri memberi bayangan bahawa pelanggan mula menambah inventori mereka yang semakin berkurangan selepas terlebih beli pada 2021.
"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dan memilih untuk memerhati untuk suku lain (iaitu suku kedua 2023) kerana pasaran dilihat tidak menentu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu berjaya meningkatkan ASP untuk sarung tangan getah nitril perubatan sebanyak AS$0.70/1,000 keping (peningkatan lebih 5%) antara Mac dan April 2023, daripada AS$18-19/1,000 keping kepada AS$19- 20/1,000 keping.
Katanya, sejak tiga minggu lalu, harga saham kumpulan itu meningkat sebanyak 27% walaupun prestasi kewangan bagi FY24 dilihat lemah.
"Walaupun kerugian berkemungkinan mengecil, unjuran pendapatan kami belum dapat menyokong penilaian semasa," katanya.
Firma itu menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'jual' berbanding 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.40. - DagangNews.com