Kos operasi lebih tinggi dijangka jejas prestasi Westports pada tahun ini, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kos operasi lebih tinggi dijangka jejas prestasi Westports pada tahun ini, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - Walaupun mencatatkan perolehan yang tinggi pada FY23, Westsports Holding Bhd dijangka berdepan beberapa cabaran pada tahun ini termasuk kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

 

RHB Investment berkata, pengendali pelabuhan itu juga mungkin berhadapan cabaran pengeluaran kontena yang lebih rendah selain semakan tarif yang lebih tinggi daripada jangkaan.

"Pengurusan kumpulan itu bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap daya pengeluaran pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Westports bagi FY23 ialah RM779.43 juta berbanding RM699.58 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil meningkat sebanyak 4% kepada RM2.15 bilion.

 

Pendapatan asas sesaham pada FY23 ialah 22.86 sen berbanding 20.52 sen pada suku perbandingan sebelumnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Westports catat bilangan kontena, perolehan tinggi bagi FY2023

 

Pada 4QFY23, untung bersih ialah RM206.08 juta berbanding RM235.04 juta pada 4QFY22, manakala hasil meningkat kepada RM554.06 juta daripada RM521.14 juta pada suku perbandingan.

 

RHB Investment berkata, jumlah kontena FY23 mencecah 10.88 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sebahagian besarnya dalam jangkaan (103% daripada andaian kontena FY23).

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun menyemak naik unjuran jumlah pengeluaran kontena Westports sehingga 8% bagi FY24 hingga FY26 didorong peningkatan aktiviti perdagangan di China dan ekonomi serantau.

 

Mereka juga menjangkakan pemulihan lebih kukuh pada separuh pertama tahun ini dirangsang oleh daya tahan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN, pemulihan kitaran teknologi global dan pertumbuhan ekonomi mampan di China.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menyemak turun kos purata wajaran modal (WACC)kepada 5.6% berbanding 73% berikutan kemas kini sasaran nisbah hutang kepada ekuiti.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM4.12 sesaham," katanya. - DagangNews.com