Kos pengeluaran lebih rendah, PublicInvest ramal Sarawak Plantation raih hasil lebih baik | DagangNews Skip to main content

Kos pengeluaran lebih rendah, PublicInvest ramal Sarawak Plantation raih hasil lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mei - Public Investment Bank Bhd (Publicinvest) meramalkan Sarawak Plantation Bhd merekodkan hasil yang lebih baik pada bulan-bulan akan datang didorong oleh penghasilan buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi serta kos pengeluaran yang lebih rendah. 

 

Katanya, walaupun pengeluaran kurang 7% pada 1QFY24, pengurusan mengekalkan sasaran penghasilan 400,000 tan metrik BTS untuk tahun ini, peningkatan 25% ari tahun ke tahun dibantu oleh tambahan kawasan matang seluas 1,600 hektar pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk menanam semula pokok di kawasan seluas 4,000 hektar melibatkan 600,000 benih atau kira-kira 150 pokok bagi setiap hektar.

 

PublicInvest berkata, kumpulan tu juga berjaya mendapatkan semula 20 hektar kawasan ladang pada suku pertama dengan baki 2,163 hektar akan dipulihkan dalam tempoh empat tahun akan datang. 

 

"Pengurusan telah menetapkan sasaran hasil BTS sebanyak 18.7 tan metrik bagi setiap hektar dengan ramalan harga harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM4,200 setiap tan.

 

"Kami juga menjangkakan kos pengeluaran lebih rendah sebanyak RM2,650 bagi setiap tan didorong peningkatan dalam BTS dan kos baja yang lebih rendah," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024, untung bersih kumpulan melonjak 58.6% kepada RM19.1 juta berbanding RM12 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Hasil meningkat 14.2% kepada RM127.3 juta berbanding RM111.4 juta setahun lalu manakala pendapatan sesaham berada pada 6.84 sen daripada 4.31 sen tahun lepas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tidak termasuk keuntungan ke atas nilai saksama aset biologi (RM10.9 juta), pendapatan teras kumpulan itu susut daripada RM10.6 juta kepada RM8.6 juta disebabkan cukai tertunda berjumlah RM2.8 juta serta perbelanjaan pengagihan dan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Katanya, kos pengeluaran MSM dalam 1QFY24 berkurangan sedikit daripada RM3,110bagi setiap tan 1QFY23 kepada RM3,100 disebabkan penurunan mendadak dalam kos baja, pengilangan dan ko pentadbiran yang lebih rendah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.74 sesaham," katanya. - DagangNews.com