Kos pengeluaran minyak sawit mentah Hap Seng Plantations diunjur turun kepada RM2,200 bagi setiap tan pada FY24 didorong kos baja lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Kos pengeluaran minyak sawit mentah Hap Seng Plantations diunjur turun kepada RM2,200 bagi setiap tan pada FY24 didorong kos baja lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Hap Seng Plantations Holdings Bhd diunjur turun kepada RM2,200 bagi setiap tan pada FY24 berbanding RM2,562 setiap tan pada FY23 didorong kos baja yang lebih rendah selain peningkatan jumlah pengeluaran.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kos pengeluaran kumpulan pada FY23 adalah lebih tinggi kesan daripada kos penyelenggaraan dan upah yang lebih tinggi tetapi berjaya diimbangi oleh pertumbuhan kukuh dalam pengeluaran buah tandan segar (BTS).

 

Katanya, kumpulan itu berharap untuk mencapai pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 10% pada FY24 berbanding 9.3% pada FY23 dan ketika ini mereka tidak berdepan sebarang masalah cuaca buruk di ladang kelapa sawitnya di Sabah.

 

"Peningkatan pengeluaran BTS pada FY24 dijangka disokong oleh peningkatan dalam kadar hasil BTS.

 

"Hasil BTS kumpulan itu diramalkan sebanyak 21.9 tan bagi setiap hektar pada FY24 berbanding 19.7 tan sehektar pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Hap Seng Plantations merosot 57% kepada RM91.37 juta pada FY23, isytihar dividen 5.3 sen sesaham

 

Pendapatan syarikat perladangan itu turut menyusut 18% kepada RM667.8 juta pada tahun tersebut berbanding RM814.6 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pada FY23 menurun kepada 11.43 sen daripada 26.30 sen sebelumnya.

 

Tahun kewangan Hap Seng Plantantions diakhiri dengan keuntungan bersih RM20.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), naik 9.6% berbanding RM18.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu dijangka menanam semula 923 hektar pokok kelapa sawit yang sudah tua pada FY24 berbanding 829 hektar pada FY23.

 

Kos penanaman semula sehingga matang dianggarkan RM16,000 sehektar hingga RM17,000 bagi setiap hektar.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar RM2.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com