Kos pengendalian perniagaan Mynews dijangka meningkat 6% pada FY24 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kos pengendalian perniagaan Mynews dijangka meningkat 6% pada FY24 - Maybank IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kos pengendalian perniagaan atau perbelanjaan nisbah jualan, umum dan pentadbiran (SG&A) Mynews Holdings Berhad (MNHB) diunjur meningkat 6% berbanding tahun kewangan lalu.

 

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), ini melibatkan pada kos tambahan pekerja dan pelarasan gaji antaranya sebagai persediaan untuk rancangan penambahan kedai pada FY24. 

 

"Secara positifnya, pusat pemprosesan makanan (FPC) juga mencatatkan kerugian lebih kecil sebanyak RM0.2 juta (berbanding -RM1.8 juta pada 4QFY23)," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Diunjurkan MNHB yang mengendalikan Mynews, CU dan WHSmith akan menambah lebih 100 premis pada FY24. Ketika ini terdapat 468 Mynews, 132 CU dan 19 (WHSmith) di seluruh negara. 

 

Sehubungan itu firma penyelidikan itu meramalkan tiada perubahan pada anggaran pendapatan MNHB dengan tinjauan kumpulan itu kekal positif. 

 

Jelas Maybank IB, pertumbuhan MNHB pada masa depan dijangka dipacu oleh jualan produk makanan segar yang semakin menjadi pilihan pengguna.

 

Katanya, strategi tersebut juga telah membuahkan hasil pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) yang menyaksikan untung bersih RM1.3 juta.

 

"Kami percaya bahawa langkah untuk menyelaraskan penawaran produk makanan segarnya kepada pilihan pengguna semasa telah mula membuahkan hasil, yang akan terus memacu momentum jualan ke hadapan. 

 

"Jangkaan untuk kedai CU dan FPCnya untuk pulang modal pada FY24 akan juga menyokong trajektori pendapatan positifnya," ujarnya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran MNHB 62 sen sesaham.- DagangNews.com