Kos susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, untung bersih Q2 Digi jatuh 3% | DagangNews Skip to main content

Kos susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, untung bersih Q2 Digi jatuh 3%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat telekomunikasi, DiGi.com Berhad bagi suku kedua tahun kewangan 2021 (2Q21) yang berakhir 30 Jun lalu menyusut 2.8% kepada RM279.9 juta daripada RM288.0 juta pada 2Q20.

 

Ini disebabkan oleh kos susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi untuk peningkatan aset hak penggunaan (ROU), namun dikurangkan oleh kos kewangan bersih yang lebih rendah.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih Digi meningkat 5.7% bagi suku tahun semasa berbanding 1Q21, menurut makluman syarikat di Bursa Malaysia. 

 

“Digi menyaksikan prestasi suku tahun semasa yang kukuh, dipacu oleh pelaksanaan yang fokus pada keutamaan perniagaan strategiknya. Syarikat mencatatkan hasil perkhidmatan sebanyak RM1.340 juta, pertumbuhan margin sebanyak 1.7% tahun ke tahun, dipacu oleh peningkatan penggunaan internet.

 

“Hasil internet dan digital meningkat 7.0% tahun ke tahun kepada RM1,020 juta, dipacu oleh tumpuan syarikat ke arah cadangan internet berkelajuan tinggi dengan pakej gabungan mudah alih yang berpatutan untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia ketika ini.

 

“Jumlah trafik data melonjak 18.3% tahun ke tahun dengan para pelanggan mencatatkan purata penggunaan data yang tinggi iaitu 21.4 GB bulanan bagi setiap pelanggan,” jelas Digi. 

 

Secara keseluruhannya, hasil syarikat melonjak 11.4% tahun ke tahun kepada RM1,618 juta didorong oleh prestasi lebih baik dalam segmen mudah alih dan jualan peranti.

 

Bagi suku tahun semasa, ahli Lembaga Pengarah Digi telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.6 sen bagi setiap saham biasa berbanding 3.7 sen dividen yang diumumkan bagi 2Q20.

 

Tambah Digi, dividen itu akan dibayar pada 24 September 2021 sekali gus menjadikan jumlah dividen terkumpul setakat 30 Jun 2021 bernilai 7.0 sen sesaham.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty berkata, syarikat telekomunikasi itu kekal komited untuk menyokong keperluan kesalinghubungan masyarakat ketika ini. 

 

Albern Murty
Albern Murty

 

Ini seiring langkah Digi untuk memperkasakan lagi usahanya dalam menyediakan rangkaian yang konsisten, mencapai matlamat Jendela serta membawa pelan yang lebih inovatif dan berpatutan kepada pelanggan. 

 

“Dalam masa sama, kami terus meningkatkan langkah berhati-hati terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja, rakan kongsi dan teruramanya pekerja barisan hadapan runcit dan rangkaian kami untuk terus berkhidmat buat pelanggan dengan selamat di kedai dan saluran digital kami,” katanya. - DagangNews.com