Kossan catat rugi bersih RM24.25 juta pada 1QFY23 akibat sumbangan rendah daripada bahagian sarung tangan | DagangNews Skip to main content

Kossan catat rugi bersih RM24.25 juta pada 1QFY23 akibat sumbangan rendah daripada bahagian sarung tangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Kossan Rubber Industries Berhad mencatatkan kerugian bersih RM24.25 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23), berbanding keuntungan bersih RM90.1 juta setahun lalu disebabkan kerugian daripada bahagian sarung tangannya.

 

Hasil suku tahunan merosot 42.54% kepada RM394.71 juta, daripada RM687.01 juta pada 1QFY22, dalam keadaan pendapatan yang lebih rendah di bahagian sarung tangan dan bilik bersih.

 

Kumpulan itu bagaimanapun tidak mengisytiharkan dividen bagi suku tersebut.

 

Pada asas suku tahun ke suku tahun, kerugian bersih kumpulan meningkat daripada RM2.49 juta pada 4QFY22, manakala hasil turun 18% daripada RM481.44 juta.

 

Kumpulan menjangkakan prestasinya untuk FY23 mencabar, hasil daripada pelbagai cabaran yang menjejaskan sektor sarung tangan.

 

"Ketidakseimbangan permintaan-bekalan terus memberi kesan negatif kepada sektor sarung tangan.

 

"Lebihan bekalan sarung tangan akibat lebihan kapasiti yang timbul daripada lonjakan kapasiti tambahan yang didorong oleh pandemik serta pengurangan stok inventori daripada pelanggan telah memaksa harga jualan purata (ASP) turun dengan ketara daripada kemuncaknya ditambah dengan beberapa pesaing luar negara yang menjual sarung tangan pada harga yang lebih rendah.

 

"Pada masa yang sama, sektor ini berdepan dengan kos tenaga dan tenaga kerja yang lebih tinggi. Kegawatan ini dijangka berterusan sepanjang FY23 dan kumpulan itu telah menangguhkan rancangan pengembangan jangka pendeknya sejajar dengan keadaan pasaran semasa," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu menjangkakan bahagian produk getah akan memberikan prestasi yang memuaskan untuk FY23 berikutan jangkaan peningkatan beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi dan perbelanjaan infrastruktur di seluruh dunia, yang akan terus merangsang segmen infrastruktur dan automotif. - DagangNews.com