KPDNHEP pandang serius isu kekurangan permintaan bekalan ayam | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP pandang serius isu kekurangan permintaan bekalan ayam

KPDNHEP pandang serius isu kekurangan permintaan bekalan ayam

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Situasi kekurangan permintaan yang dihadapai oleh industri ayam mendapat perhatian serius Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

KPDNHEP berkata, usaha berterusan terus digiatkan dengan mengadakan sesi libat urus bersama kementerian, agensi dan industri bagi memastikan mana-mana industri dapat meneruskan operasi perniagaan dengan sebaiknya sepanjang tempoh pandemik.

 

Menurut kementerian itu, usaha berkenaan adalah bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan sebarang kenaikan harga barangan keperluan utama disebabkan cabaran yang dihadapi oleh industri.

 

"KPDNHEP ambil maklum situasi semasa yang dihadapi oleh peniaga dan industri dalam pasaran terkesan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang masih berpanjangan, dan sememangnya industri ayam antara yang terjejas disebabkan PKP yang menetapkan SOP pengoperasian sektor perkhidmatan makanan seperti restoran, kedai-kedai makan dan seumpamanya dihadkan untuk beli dan bungkus sahaja.

 

"Situasi ini jelas memberikan kesan kepada volume permintaan bekalan ayam yang menunjukkan penurunan yang amat ketara.

 

"Susulan ini juga, kementerian sentiasa membawa isu kesan penutupan sektor-sektor makanan termasuk industri ayam kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan cadangan supaya aktiviti yang boleh meningkatkan permintaan kepada bekalan ayam dapat dibuka dan juga membenarkan dine-in disegerakan," jelas KPDNHEP dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan tersebut dibuat sebagai maklum balas terhadap laporan media tempatan yang melaporkan isu kenaikan harga makanan ternakan yang telah memberikan kesan kepada prestasi jualan salah seorang penternak di Kedah.

 

KPDNHEP berkata, reaksi tersebut juga bertujuan untuk menjelaskan kepada umum peranan pihaknya dalam mengimbangi aspek kepentingan pengguna dan peniaga.

 

Dalam pada itu, KPDNHEP memberi keyakinan lebih banyak sektor yang menyokong permintaan terhadap bekalan ayam akan dapat dibuka tidak lama lagi khususnya di negeri-negeri yang telah berada di di Fasa 2 PPN dan
seterusnya.

 

Menurut kementerian itu, program vaksinasi dapat memulihkan semula permintaan bekalan ayam dalam pasaran apabila lebih banyak sektor peruncitan seperti perkhidmatan penyediaan makanan dapat dibuka dan dine-in dibenarkan.
 

 

Mengulas berkaitan kenaikan harga makanan ternakan ayam, KPDNHEP memberitahu, tindakan proaktif telah diambil oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain industri.

 

Perbincangan tersebut terdiri daripada pengimport, pengeluar, pembekal makanan ternakan dan penternak bagi mencari solusi terbaik dalam menangani masalah berkenaan.

 

"KPDNHEP sentiasa memantau kecukupan bekalan ayam dan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan disebabkan kenaikan kos pengeluaran (makanan ternakan ayam) dengan menaikkan harga ayam di pasaran secara tidak munasabah.

 

"Pemeriksaan dan tindakan dilaksanakan secara harian di setiap rantaian pengedaran bekalan meliputi ladang, pemborong, pengedar dan peruncit," tambah KPDNHEP lagi. - DagangNews.com