KPDNHEP terima peruntukan besar dalam Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

KPDNHEP terima peruntukan besar dalam Belanjawan 2021

 

 


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah antara yang menerima peruntukan besar dalam pembentangan Belanjawan 2021, yang dibentangkan semalam. 

Keseluruhannya, KPDNHEP menerima kenaikan peruntukan mengurus sebanyak 6.33% daripada RM1.02 bilion dalam Belanjawan 2020 kepada RM1.084 bilion untuk Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, peruntukan pembangunan memperlihatkan sedikit penurunan, iaitu 15.03% daripada RM78.4 juta dalam Belanjawan 2020 kepada RM66.6 juta untuk Belanjawan 2021.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan ini disebabkan beberapa projek pembangunan yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sudahpun siap dilaksanakan.

"Beberapa inisiatif berorientasikan rakyat turut diluluskan kerajaan di bawah Belanjawan 2021 yang diyakini berupaya membantu rakyat mengharungi cabaran ekonomi semasa sehingga keadaan pulih sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
 

Antara program berkenaan :
• Program Penstabilan Harga Minyak Masak (RM400 juta)
• Program Pengedaran Barang Perlu, LPG & Community Drumming (RM200 juta/peruntukan meningkat RM50 juta berbanding Belanjawan 2020)
• Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak & Labuan (RM40 juta/peruntukan meningkat RM20 juta berbanding Belanjawan 2020)
• Subsidi Tepung Gandung Kegunaan Am (RM40 juta)
• Program Pembangunan Francais Mikro & Francais Mampu Milik (RM5 juta)
• Pembangunan Usahawan/Pembangunan Francais (RM3.8 juta/meningkat RM1.3 juta berbanding Belanjawan 2020)
• Program Beli Barangan Buatan Malaysia (RM20 juta)

Menurut beliau, program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming akan turut diperluaskan ke 34 kawasan baharu di seluruh negara tahun depan, yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Melalui inisiatif ini, barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal," katanya.

Beliau berkata, ia seiring dengan komitmen KPDNHEP bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutama di kawasan terbabit.

Pada masa sama, KPDNHEP turut memperkenalkan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik yang akan membuka peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang francais, khususnya francais mikro serta mampu milik sebagai inisiatif tambahan kepada Program Pembangunan Usahawan/Pembangunan Francais.

Program Beli Barangan Malaysia juga boleh dimanfaatkan dan produk-produk tempatan dapat dikembangkan, khususnya produk dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.

"Kesemua inisiatif dirangka itu jelas memperlihatkan elemen keterangkuman dan sifat inklusif kerajaan melalui KPDNHEP dalam membantu rantaian ekonomi domestik di semua peringkat yang berupaya membawa impak positif kepada golongan pengguna," jelas beliau. - DagangNews.com