KPJ dijangka catat untung bersih sehingga RM72 juta pada 1QFY24 didorong peningkatan kecekapan operasi | DagangNews Skip to main content

KPJ dijangka catat untung bersih sehingga RM72 juta pada 1QFY24 didorong peningkatan kecekapan operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Mac - RHB Investment menjangkakan KPJ Healthcare Bhd mencatatkan untung bersih antara RM67 juta hingga RM72 juta pada 1QFY24 didorong peningkatan kecekapan operasi daripada hospital yang masih dalam tempoh tunggu hasil serta peningkatan dalam sektor pelancongan kesihatan.

 

Katanya, kumpulan itu juga bersedia untuk melihat jumlah pesakit yang lebih baik sekali gus meningkatkan intensiti hasil lebih tinggi.

 

Selain itu, langkah Kementerian Kesihatan mengecualikan kelayakan asas bagi jururawat asing untuk bekerja di Malaysia bermula Oktober 2023 hingga September 2024 berpotensi menangani isu kekurangan jururawat di negara ini.

 

"Kami percaya pengusaha hospital swasta seperti KPJ akan memanfaatkan peluang itu bagi memenuhi keperluan kejururawatannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lima hospital yang masih di bawah tempoh tunggu hasil dijangka mencatatkan kerugian pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) yang lebih kecil pada 1QFY24 disokong peningkatan beransur-ansur dalam kecekapan operasi.

 

Katanya, kadar penghunian katil Hospital Pakar Damansara 2 diunjur meningkat sebanyak 50% selain pertumbuhan sihat dalam purata pendapatan bulanan.

 

"Hospital Pakar Damansara 2 baru-baru ini meningkatkan bilangan katilnya kepada 100 dan jumlah itu dijangka bertambah antara 30 hingga 50 menjelang akhir tahun ini," katanya.

 

RHB Investment berkata, kemasukan pelancong dari China dan India tanpa visa akan memberi kesan limpahan positif kepada sektor pelancongan kesihatan kerana kedua-dua negara menyumbang 5% dan 3% kepada kepada hasil sektor itu.

 

Katanya, KPJ memberi penekanan untuk mengkuhkan kehadiran di Indoensia dengan menubuhkan pejabat perwakilan serta melantik ejen bagi membantu pesakit di negara itu dalam memajukan sektor pelancongan kesihatan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.12 sesaham," katanya.- DagangNews.com