KPJ Healthcare miliki kapasiti untuk berkembang, mampu capai sasaran jumlah pesakit - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare miliki kapasiti untuk berkembang, mampu capai sasaran jumlah pesakit - MIDF Research

Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar bersama Datuk Seri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM; Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp dan Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare bergambar di hadapan logo baharu KPJ Healthcare di Menara KPJ Healthcare, Kuala Lumpur 6 Ogos 2024. -Gambar KPJ
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Ogos - MIDF Research berpendapat KPJ Healthcare Berhad mempunyai kapasiti untuk berkembang dan seterusnya meningkatkan kadar penghunian katil (BOR) seperti yang disasarkan.

 

"KPJ telah mencapai BOR sebanyak 60% pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QCY24), hampir kadar setahun penuh CY23. Untuk makluman, KPJ menyasarkan untuk meningkatkan kiraan katilnya (bed count) sebanyak kira-kira 400 katil menjelang akhir CY24.

 

"Kami percaya dengan perkembangan semasa hospital sedia ada di Malaysia seiring dengan peningkatan permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan, KPJ mampu mencapai kejayaan itu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MIDF Research  berpendapat KPJ akan mempertimbangkan untuk meningkatkan peratusan pelancongan kesihatan yang menyumbang kepada kira-kira 5%-6% daripada jumlah perniagaan KPJ di CY23.

 

Katanya, ini memandangkan Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) telah merekodkan pendapatan RM2.3 bilion dalam CY23, dengan kumpulan itu menyumbang sekitar RM190 juta.

 

"Kami melihat projek pembesaran itu tepat pada masanya untuk memanfaatkan pasaran pesakit asing, sambil turut menyediakan peluang untuk menambah baik operasi dan menyepadukan teknologi canggih di hospitalnya," jelasnya.

 

 

kpj
KPJ Healthcare melancarkan penjenamaan semula semalam, menandakan permulaan baharu selepas empat dekad.

 

Dalam pada itu, walaupun terdapat peluang untuk aset baru dalam sektor ini – khususnya di Ramsay Sime Darby Hospitals dan Island Hospital di Pulau Pinan, MIDF Research percaya KPJ berpuas hati dengan kedudukan kewangannya dan akan terus memberi tumpuan kepada peluang pasaran modal yang lebih berpatutan dan menarik.

 

"Tambahan pula, kami berpendapat meningkatkan aset semasa mempunyai manfaat seperti kos lebih cekap kerana kurang memerlukan pelaburan kewangan, penjimatan masa dan risiko lebih rendah berbanding memperoleh aset baharu, mematuhi amalan kelestarian dan meningkatkan semangat pekerja, yang membawa kepada persekitaran kerja yang lebih baik," ujarnya.

 

Walau bagaimanapun, MIDF Research berkata, mereka menyedari bahawa pengoptimuman aset sedia ada dan meminimumkan risiko pelaburan mungkin bukan pilihan terbaik dalam jangka panjang. 

 

"Risiko keburukan termasuk: (i) pulangan yang berkurangan selepas sumber beroperasi hampir dengan kecekapan maksimum, (ii) infrastruktur yang semakin tua yang membawa kepada kos penyelenggaraan yang lebih tinggi, dan (iii) keterbatasan skala. 

 

"Walau bagaimanapun, kami percaya KPJ mempunyai keupayaan untuk mencapai keseimbangan antara manfaat dan risiko, dan dengan itu, dapat mengurangkan risiko dengan sewajarnya dalam Pelan Strategik 5 Tahun mereka..

 

"Memandangkan ini adalah selaras dengan trajektori KPJ, kami mengekalkan saranan 'Beli' untuk KPJ, dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah iaitu RM2.54 sesaham," katanya.- DagangNews.com