KPMG bertegas ikut prosedur audit ke atas Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

KPMG bertegas ikut prosedur audit ke atas Serba Dinamik

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - KPMG PLT mendedahkan bahawa firma itu akan bersungguh-sungguh membantah dakwaan yang dilontarkan Serba Dinamik Holdings Berhad berhubung isu audit sekiranya pertikaian antara kedua-duanya dibawa hingga ke peringkat mahkamah.

 

“Asas kepada tuduhan itu melibatkan satu audit berkanun yang masih lagi berjalan dan kami tidak dapat mengeluarkan sebarang komen. Audit itu masih lagi dilakukan mengikut standard profesional yang berkaitan.

 

“Kami melihat ini tidak berasas dan akan ‘melawan’ dalam sebarang proses mahkamah,” kata jurucakap KPMG dalam maklum balasnya kepada The Edge.

 

Semalam, Serba Dinamik dalam satu sidang media mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas KPMG, mendakwa bahawa firma audit itu cuai serta melanggar  kontrak dan undang-undang tugasnya terhadap kumpulan.

 

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik sebagai peguam Serba Dinamik menekankan bahawa KPMG membangkitkan beberapa isu berkaitan audit dengan cara yang tidak sesuai.

 

Baca : Serba Dinamik saman KPMG atas dakwaan cuai 

 

Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer yang baru sahaja dilantik mendakwa firma itu memperbesar-besarkan isu audit berkenaan.

 

Sebagai rekod, pertikaian antara Serba Dinamik dalam isu pengauditan dengan KPMG tercetus apabila juruaudit luarnya itu menunjukkan terdapat perbezaan yang melibatkan urus niaga berjumlah RM4.54 bilion kepada pengarah bebas syarikat bulan lalu.

 

Ini berkaitan akaun kewangan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2020.

 

Baca : 4 sebab Serba Dinamik mendakwa KPMG cuai

 

Sejak itu, pelabur institusi syarikat minyak dan gas itu, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mula menyuarakan kebimbangan terhadap pentadbiran Serba Dinamik.

 

Dalam masa sama, institusi-institusi itu turut mengurangkan kepentingan mereka dalam Serba Dinamik sehingga membawa kepada kerugian lebih RM3 bilion dari segi permodalan pasaran syarikat.

 

Pada 1 Jun lalu, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berhenti menjadi pemegang saham besar syarikat selepas melupuskan 26.18 juta unit saham atau 0.7% daripada 5.2% kepentingan yang dimilikinya antara 31 Mei dan 1 Jun. - DagangNews.com